Anwar Saksikan Detik Pembukaan WorldSkills Shanghai 2026

SHANGHAI, 22 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis pembukaan WorldSkills Shanghai 2026 di sini malam ini, membuktikan sokongan Malaysia kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri China Li Qiang merasmikan acara yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia Shanghai itu, dengan turut dihadiri pemimpin kerajaan, wakil negara peserta, pegawai WorldSkills serta ahli komuniti kemahiran antarabangsa.

WorldSkills Shanghai 2026 berlangsung dari 22 hingga 27 Sept ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) dengan dua acara utama iaitu Pertandingan WorldSkills ke-48 dan Persidangan WorldSkills 2026.

Agenda itu turut mengetengahkan Ekspo WorldSkills Shanghai 2026 dengan lebih 300 reruai dan stesen interaktif.

Pertandingan itu akan menguji penguasaan 1,400 peserta dari 65 negara dan wilayah untuk bersaing dalam 64 kategori kemahiran. 

Pertandingan kemahiran dwitahunan berkenaan merupakan perhimpunan bakat kemahiran antarabangsa terbesar dunia.

Acara itu merangkumi kemahiran tradisional dan bidang yang pesat membangun termasuk pengkomputeran awan, robotik mudah alih autonomi, keselamatan siber, operasi dron, reka bentuk media interaktif digital dan teknologi kenderaan rel.

Malaysia yang menganggotai WorldSkills International sejak 1992 telah menghantar kontinjen disertai 82 individu diketuai Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan selaku ketua kontinjen.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK).

Kontinjen Malaysia turut menyertai Perarakan Negara-Negara peserta yang berlangsung dalam suasana memukau dan gemilang, dengan gaya upacara pembukaan temasya Olimpik.

Malaysia diwakili 22 peserta yang bertanding dalam 21 bidang kemahiran dengan misi Road to Gold, yang menyasarkan untuk meraih pingat emas pertama negara.

Kategori kemahiran antaranya ialah teknologi pembuatan dan kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi pembinaan dan bangunan serta seni kreatif dan fesyen.

Pada acara perasmian itu, Anwar yang duduk bersebelahan Li jelas sekali begitu akrab dan mesra. Ketika kontinjen Malaysia memasuki arena, Li menyentuh bahu Anwar untuk menarik perhatiannya.

Anwar dilihat mengangkat ibu jari ke arah kontinjen Malaysia dan melambai sebagai tanda sokongan. 

Penyertaan Malaysia dalam WorldSkills Shanghai 2026 merupakan sebahagian daripada inisiatif global yang diterajui China dalam memperkukuh hubungan dua hala berlandaskan kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif.

Kehadiran Perdana Menteri dilihat sebagai bukti sokongan padu buat kontinjen Malaysia ketika negara berusaha untuk memartabatkan TVET sebagai laluan pendidikan dan kerjaya pilihan.

Malaysia telah memberikan penekanan yang lebih besar kepada kemahiran teknikal bernilai tinggi untuk memenuhi keperluan industri, meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan menyokong peralihan negara ke arah ekonomi yang dipacu teknologi.

Sejajar dengan pertandingan itu, Persidangan WorldSkills 2026 pula akan menghimpunkan kalangan penggubal dasar, pendidik, pemimpin industri dan pencetus perubahan untuk berkongsi pandangan mengenai pemerkasaan agenda TVET global.

Persidangan itu akan dirasmikan oleh Li pada Rabu dengan Anwar dijadualkan menyampaikan ucaptama pada sesi pleno.

Anwar berada di China untuk lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou, merangkumi pertemuan dua hala peringkat tinggi dengan Li dan pertemuan dengan kalangan pemimpin serta ketua industri China.