PM Anwar Ucap Syabas Kepada 22 Peserta Malaysia Di Worldskills Shanghai 2026

SHANGHAI, 22 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan syabas kepada 22 anak muda yang mewakili negara pada Pertandingan Kemahiran Dunia (WorldSkills Competition) Shanghai 2026.

Beliau berkata kesemua peserta itu menjadi kebanggaan negara ketika menjulang Jalur Gemilang pada majlis perasmian yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Ekspo Dunia Shanghai malam ini.

“Syabas kepada seramai 22 anak muda kita yang melambangkan bakat terbaik tanah air dalam bidang TVET sambil teguh menjulang Jalur Gemilang dengan rasa kebanggaan dan keyakinan,” kata beliau dalam hantaran media sosial selepas acara pembukaan dilakukan oleh Perdana Menteri China Li Qiang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau percaya mereka yang bakal bersaing dengan peserta dari lebih 60 negara dalam 21 bidang kemahiran pastinya akan berjuang sedaya upaya merebut kemenangan.

“Saya doakan agar segala usaha gigih mereka tidak sia-sia, sebaliknya membuahkan hasil yang membanggakan dalam misi memburu pingat emas demi tanah air tercinta,” kata Perdana Menteri.

Anwar tiba di Shanghai petang tadi untuk lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou.

Kemuncak lawatan Perdana Menteri kali ini adalah mesyuarat peringkat tinggi dengan Li di Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang pada Khamis.

Anwar juga akan menghadiri WorldSkills Conference 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) dan dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama pada sesi pleno persidangan itu pada Rabu.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah USD113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.