WASHINGTON, 26 Sept — Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres bertemu Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Jumaat dan menegaskan keperluan untuk menyelesaikan perang di Asia Barat menerusi dialog dan rundingan, lapor Anadolu Ajansi.
“Setiausaha Agung menegaskan keperluan mendesak untuk menyelesaikan konflik di Asia Barat menerusi dialog dan rundingan, dengan menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa termasuk hak dan kebebasan pelayaran antarabangsa di dalam dan sekitar Selat Hormuz,” menurut kenyataan PBB.
Guterres turut menegaskan semula komitmen PBB untuk “menyokong semua usaha diplomatik.”
Pertemuan itu berlangsung ketika Iran berkata negara itu telah mengemukakan cadangan tujuh hari bagi menamatkan permusuhan dan membuka semula selat yang mempunyai kepentingan strategik itu.
Menteri Luar Abbas Araghchi sebelum itu memberitahu pemberita bahawa cadangan berkenaan disampaikan kepada Washington melalui Qatar dan sekiranya “syarat yang diperlukan dipenuhi”, selat itu akan dibuka dalam tempoh tujuh hari.
Amerika Syarikat (AS) masih belum memberikan maklum balas secara terbuka terhadap cadangan itu.
AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb, yang menurut Tehran telah mengorbankan ribuan orang.
Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron di rantau itu serta secara efektif menutup Selat Hormuz, laluan strategik bagi bekalan tenaga.













Tinggalkan Balasan