Mesyuarat Khas Urusan PRN Melaka Ke-16 Pada 7 Okt – SPR

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, pada 7 Okt.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pelaksanaan mesyuarat khas itu, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Rabu lepas.

“Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun.

“Perkara yang akan dibincangkan ialah tarikh-tarikh penting PRN Melaka ke-16 seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan, bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu.

Pada Selasa lepas, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa Rabu, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.