PM Pakistan Shehbaz Ucap Takziah Kepada Anwar Atas Pemergian Abang

HYDERABAD, 25 Sept — Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga atas pemergian abang Anwar, Idrus Ibrahim.

“Amat berdukacita atas pemergian Idrus Ibrahim… Ucapan takziah dan doa tulus saya bersama saudara saya Anwar Ibrahim dan keluarganya.

“Semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarham di syurga dan mengurniakan kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan. Aamiin,” kata Shehbaz menerusi hantaran di X.

Dalam responsnya pada Jumaat, Anwar mengucapkan terima kasih kepada Shehbaz atas ucapan dan doa beliau.

“Aamiin. Terima kasih saudara saya PM @CMShehbaz atas kata-kata baik dan doa saudara. Saya dan keluarga amat menghargainya,” kata Anwar menerusi hantaran di X.

Idrus, 83, meninggal dunia di kediamannya di Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam, pada 6.10 petang Khamis.

Allahyarham dikebumikan pada 2.50 petang selepas solat Jumaat dan solat jenazah di surau sementara Masjid Jamek Cheruk Tok Kun Bawah.