Panda Gergasi Ping Ping, Fu Shuang Tiba Di AS

ANKARA/ISTANBUL, 28 Sept — Dua panda gergasi tiba di negeri Georgia, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad untuk ditempatkan selama 10 tahun di Zoo Atlanta menerusi kerjasama pemuliharaan antarabangsa antara China dan AS, menurut zoo berkenaan.

“Zoo Atlanta amat teruja mengumumkan bahawa panda gergasi Ping Ping dan Fu Shuang telah tiba di Atlanta,” menurut kenyataan institusi itu pada Ahad, yang mengesahkan kedua-duanya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson dengan pesawat khas.

Anadolu Ajansi melaporkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Zoo Atlanta Raymond B. King menyifatkan ketibaan itu sebagai “hari yang sangat menggembirakan bagi Zoo Atlanta dan detik bersejarah untuk bandar Atlanta, negeri Georgia dan kawasan sekitarnya.”

Kedua-dua panda itu belum dapat dilihat orang ramai buat masa ini selepas dipindahkan terus ke kawasan biosekuriti di kompleks panda gergasi yang baharu dibina bagi menjalani tempoh kuarantin rutin kira-kira sebulan.

Ketibaan itu menjadikan Zoo Atlanta satu daripada tiga institusi zoologi di AS yang kini menempatkan panda gergasi, selain satu-satunya zoo di tenggara negara itu yang memiliki spesies berkenaan.

Ia susulan pemeteraian Perjanjian Penyelidikan Kerjasama Antarabangsa mengenai Pemuliharaan Panda Gergasi dengan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China.

Ping Ping dan Fu Shuang berlepas dari Chengdu selepas Presiden China Xi Jinping mengumumkan  bahawa kedua-dua panda itu akan tiba di Atlanta dalam beberapa hari, ketika pertemuan tiga hari dengan Presiden AS Donald Trump di Washington minggu lepas, menurut NBC News.

Perjanjian berkenaan kali pertama diumumkan pada April, namun tarikh ketibaan ketika itu belum ditetapkan.

Kedua-dua panda berkenaan dilahirkan pada 2020 dan sebelum ini ditempatkan di Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu.

Ping Ping ialah panda jantan manakala Fu Shuang betina.

Zoo Atlanta tidak mempunyai panda gergasi sejak panda yang ditempatkan di situ sebelum ini meninggalkan zoo berkenaan pada 2024.

Pinjaman panda itu antara hasil nyata lawatan negara Xi ke AS, yang turut menyaksikan kedua-dua pemimpin menyatakan hasrat memperkukuh hubungan baik, menurut laporan berkenaan.

China sejak sekian lama menggunakan program pinjaman panda sebagai sebahagian daripada diplomasinya dengan negara lain.

Xi menyifatkan program itu sebagai contoh “persahabatan antara rakyat China dan Amerika.”