BANDAR GAZA/ISTANBUL, 28 Sept — Pertahanan Awam Gaza pada Ahad memaklumkan bahawa pasukannya menemukan jasad 28 rakyat Palestin di bawah runtuhan sebuah rumah yang dimusnahkan tentera Israel pada Oktober 2023.
Jasad berkenaan ditemukan di kediaman keluarga Abu Naama di kejiranan Daraj, Bandar Gaza, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan agensi itu.
Sumber keluarga memberitahu Anadolu bahawa rumah berkenaan sebelum ini dibedil pesawat perang Israel.
Pada Sabtu, Pertahanan Awam memaklumkan bahawa pihaknya turut menemukan jasad tujuh rakyat Palestin dari dua rumah yang musnah, masing-masing milik keluarga Nuwairi di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza dan keluarga Atallah di kawasan Yarmouk, Bandar Gaza.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada fasa kedua projek Pertahanan Awam untuk mengeluarkan jasad mangsa yang tertimbus di bawah bangunan yang musnah sepanjang perang Israel di Gaza.
Fasa berkenaan bermula pada 19 Julai dan meliputi beberapa lokasi di Bandar Gaza, utara Gaza serta kem pelarian Nuseirat.
Pertahanan Awam menganggarkan kira-kira 1,072 mangsa mungkin masih tertimbus di bawah bangunan terbabit.
Pasukan penyelamat merancang menjalankan pencarian di 147 rumah di wilayah utara dan tengah Gaza dalam tempoh keseluruhan 800 jam bekerja.
Menurut Pertahanan Awam, operasi itu berjalan perlahan berikutan kekurangan jentera berat yang diperlukan untuk mengalihkan runtuhan.
Pegawai Palestin berkata perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025 memperuntukkan kemasukan jentera bagi membantu kerja pembersihan runtuhan dan usaha menemukan mangsa.
Dalam fasa pertama yang bermula pada akhir November 2025, jasad 333 mangsa ditemukan.
Pada Oktober 2025, pejabat media kerajaan Gaza menganggarkan kira-kira 9,500 rakyat Palestin masih hilang sejak perang bermula, termasuk mereka yang dipercayai tertimbus di bawah bangunan yang musnah serta individu yang masih tidak diketahui keberadaannya.
Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut membangkitkan kesan trauma berterusan akibat penantian panjang untuk menemukan jasad mangsa.













Tinggalkan Balasan