NEW YORK, 28 Sept — Konflik di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz bukan lagi isu yang hanya memberi kesan kepada kawasan berkenaan, tetapi kesannya turut dirasai jauh melampaui sempadan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata perkembangan berkenaan menunjukkan bahawa kesan peperangan pada masa kini tidak lagi terhad kepada negara atau kawasan yang terlibat secara langsung, sebaliknya juga memberi impak kepada masyarakat dunia dari segi ekonomi dan kehidupan harian kerana hubungan antara negara yang semakin saling terhubung.
“Kalau dulu perang ini, penderitaan itu dirasai oleh mereka yang terlibat, tapi sekarang kerana dunia yang saling terhubung, maka bukan saja perang itu di tempat kawasan masing-masing tetapi kesannya dirasai juga di tempat-tempat lain.
“Perang, penutupan Selat Hormuz dan perang di Asia Barat turut dirasai oleh keluarga di Asia Tenggara kerana kenaikan harga barang, kenaikan harga bahan api dan juga berbagai-bagai perkara lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada Debat Umum Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, Sabtu lepas.
Dalam pada itu, Mohamad berkata PBB perlu kembali kepada asas penubuhannya bagi memastikan pengajaran daripada peperangan terus menjadi teras usaha mencegah penderitaan dan kemusnahan manusia.
Beliau berkata selepas beberapa dekad berlalu, masyarakat dunia kini dilihat semakin melupakan penderitaan yang ditimbulkan oleh peperangan, sedangkan konflik terus berlaku di Eropah, benua Afrika dan Asia Barat.
“Banyak pihak yang telah lupa tentang penderitaan yang telah dilalui oleh masyarakat dunia, betapa perang itu mendatangkan penderitaan dan kehancuran,” katanya.
Mohamad berkata keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap PBB kini semakin merosot dan wujud apa yang disifatkannya sebagai defisit kepercayaan yang serius.
Beliau turut menggesa reformasi di PBB dan Majlis Keselamatannya (UNSC) khususnya mengenai penggunaan kuasa veto yang tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya, terutama dalam perkara membabitkan jenayah kemanusiaan, genosid dan jenayah lain.
Mohamad berkata pelbagai resolusi telah diluluskan di peringkat PBB, namun sesuatu keputusan boleh tersekat apabila sampai ke Majlis Keselamatan kerana dihalang kuasa veto, walaupun mendapat sokongan besar daripada anggota PBB.
“Walaupun lebih daripada dua pertiga suara di Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi, tetapi ia terus tidak menjadi kenyataan,” katanya.
Mohamad berkata keadaan itu turut dapat dilihat apabila undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa terus dicabuli, sedangkan tindakan sewajarnya tidak dapat dilaksanakan.
Beliau berkata jika keadaan itu tidak ditangani, PBB akan terus gagal berfungsi memenuhi matlamat yang diharapkan masyarakat antarabangsa.
Sementara itu, Mohamad berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI) perlu dikawal selia dengan garis panduan yang jelas bagi mengelakkan ia disalahgunakan sebagai senjata yang boleh memudaratkan kemanusiaan, terutama dalam konteks peperangan.
“AI ini perlu dikawal selia. Jika ia tidak dikawal selia, ia akan menjadi satu lagi kuasa yang boleh mendatangkan kemudaratan,” katanya.













Tinggalkan Balasan