Rundingan Perdagangan China-AS Capai Hasil Positif – MOC

Pasukan ekonomi dan perdagangan dari China dan Amerika Syarikat (AS) berjaya mencapai persepakatan dalam siri rundingan terbaharu yang berlangsung di New York dan Washington, D.C., dari 20 hingga 23 September lalu.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Amerika dan Oceania Kementerian Perdagangan China (MOC) yang memaklumkan perkara itu berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menubuhkan Majlis Perdagangan China-AS di bawah mekanisme rundingan sedia ada bagi mengoptimumkan struktur perdagangan dua hala.

Menerusi platform baharu berkenaan, China dan AS bersetuju untuk mengambil pendekatan timbal balik dengan mengurangkan tarif ke atas produk import bernilai kira-kira USD30 bilion antara satu sama lain.

Daripada jumlah itu, hampir 90 peratus daripada item terpilih akan diturunkan kadarnya sehingga menyamai paras status Layanan Paling Diutamakan (MFN).

Untuk rekod, pada Oktober 2025, China dan AS mencapai konsensus di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan isu ekonomi dan perdagangan yang menjadi kebimbangan masing-masing, bersetuju untuk menggantung pelaksanaan sebahagian langkah tarif dan bukan tarif kedua-dua pihak sehingga 10 November 2026.

Dalam rundingan kali ini, China dan AS sepakat untuk melanjutkan gencatan perdagangan tersebut hingga 10 Januari 2027, selain komited meneruskan perbincangan aktif demi memurnikan pelan penyelesaian menang-menang.