Ketua Menteri Pulau Pinang Ketuai Misi Pelaburan, Perdagangan Ke AS

GEORGE TOWN, 28 Sept — Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengetuai misi pelaburan dan perdagangan ke Amerika Syarikat (AS) bermula hari ini sehingga 5 Oktober bagi memperkukuh hubungan dengan pelabur AS serta menarik pelaburan baharu ke negeri itu.

Misi perdagangan itu dianjurkan oleh InvestPenang iaitu agensi promosi pelaburan negeri yang bertujuan memperbaharui hubungan sedia ada serta menjalinkan hubungan lebih kukuh dengan ibu pejabat korporat syarikat dari AS.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang memaklumkan misi perdagangan itu turut bertujuan menyediakan perkembangan terkini kepada syarikat dari AS mengenai Pulau Pinang.

Jelasnya, ini termasuk perkembangan mengenai Penang Silicon Design @5km+ dan Penang ATE Campus, penambahbaikan infrastruktur serta perubahan dasar yang dirangka bagi memudah cara pelaburan.

“Dengan meningkatkan keterlihatan serta terus mempromosi Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan pilihan, misi itu turut menyasarkan bakal pelabur dalam industri seperti semikonduktor.

“Ini termasuk reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan pembuatan peralatan, peranti perubatan serta perkhidmatan perniagaan global,” menurutnya.

Sepanjang lawatan itu, Chow dan delegasi InvestPenang akan menyertai beberapa siri mesyuarat serta lawatan ke premis ibu pejabat korporat pelabur AS.

Berdasarkan kenyataan itu lagi, penglibatan berkenaan menyediakan platform yang bernilai untuk mengetengahkan inovasi, daya saing dan visi jangka panjang Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan.