Evocom Sasar Perluas Perniagaan Penghantaran Kargo Udara Ke Australia, Asia Barat

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Evocom Bhd berhasrat mengembangkan perniagaan penghantaran kargo udaranya secara transit khususnya bagi laluan dari China ke Australia dan Asia Barat dalam usaha mempelbagaikan operasinya di luar perniagaan teras iaitu penyediaan tenaga kerja fleksibel.

Evocom kebanyakannya membekalkan tenaga kerja bagi menyokong operasi logistik platform e-dagang dan syarikat itu beribu pejabat di Semenyih, Selangor.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Ian Tan berkata syarikat berkenaan mempunyai rakan kongsi sedia ada di China yang bekerjasama dengan platform e-dagang utama di Guangzhou dan Shenzhen bagi menyelaras penghantaran kargo secara transit ke Australia serta Asia Barat.

“Malaysia sangat strategik dari segi penghantaran ke Australia dan Asia Barat kerana terdapat lebih banyak penerbangan ke destinasi berkenaan.

“Kami memanfaatkan peluang ini untuk mengembangkan perniagaan ini,” katanya pada sidang media selepas syarikat itu disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia di sini hari ini.

Saham Evocom dibuka pada harga 15 sen iaitu tiga sen di bawah harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 18 sen dengan 3.49 juta saham diniagakan.

Tan berkata syarikat itu turut menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat penerbangan terutamanya Malaysia Airlines.

Beliau berkata perniagaan penghantaran kargo secara transit berpotensi menjana margin yang jauh lebih tinggi bergantung pada laluan dengan penghantaran ke Australia dan Eropah kini mencatatkan margin antara 30 hingga 35 peratus.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Esther Loo berkata teknologi akan melengkapi perniagaan syarikat yang berasaskan tenaga kerja dengan membantu menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor kurier susulan peningkatan jumlah dagangan e-dagang.

“Permintaan terhadap e-dagang semakin meningkat. Kami melihat jumlah penghantaran terus bertambah. Memandangkan terdapat peluang pekerjaan lain yang tersedia, pengusaha kurier sendiri berdepan dengan kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Loo memberitahu, pelaburan teknologi dalam syarikat itu disasarkan untuk meningkatkan kecekapan tenaga kerja kurier sedia ada dan yang berpotensi pada masa hadapan, bukannya menggantikan operasi syarikat yang berasaskan tenaga kerja.

Mengenai kemudahan di Nilai, Tan berkata pelancaran awal dijadualkan bermula pada 14 Oktober dengan penghantaran percubaan dijangka dijalankan dalam tempoh dua hingga tiga bulan berikutnya.

Kemudahan itu dijangka mencapai kapasiti penuh pada suku pertama 2027.

Kemudahan berkenaan disasarkan mengendalikan kira-kira 5,000 bungkusan sehari dan menjana hasil sebanyak RM20,000 sehari.