Tokoh Antarabangsa Puji Pelaksanaan GDI

Perutusan tahniah daripada Presiden China, Xi Jinping kepada Dialog Peringkat Tinggi sempena Ulang Tahun Ke-5 Inisiatif Pembangunan Global (GDI) menerima maklum balas luar biasa daripada komuniti antarabangsa yang menyifatkannya sebagai pencetus semangat baharu dalam memacu agenda pemulihan global.

Rata-rata perwakilan asing yang hadir pada persidangan itu menegaskan GDI memainkan peranan penting dalam meletakkan isu pembangunan sebagai agenda teras global, sekali gus menjawab keperluan paling mendesak serta hakiki bagi negara-negara membangun.

Menteri Negara bagi Belanjawan dan Perancangan Ekonomi Nigeria, Doris Uzoka menzahirkan penghargaan tinggi terhadap visi serta komitmen peribadi Presiden Xi yang membolehkan inisiatif berkenaan membuahkan hasil nyata.

“Kami amat berterima kasih atas sumbangan China, terutamanya dalam menghantar tenaga pakar kami untuk menjalani latihan di sana. Melalui kerjasama teknikal ini, Nigeria kini mampu menembusi pasaran global dan mempercepat transformasi perindustrian domestik, demi meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri dan Perdagangan Luar Jamaica, Kamina Johnson Smith menyifatkan GDI sebagai inisiatif yang amat signifikan. 

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Presiden Xi kerana membawa inisiatif itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mendorong kerjasama Selatan Global. 

“Dunia sekarang ini lebih memerlukan kerjasama berbanding sebelum ini dan komitmen China dalam menerajui perkongsian ini amat kami hargai,” kata Smith.