NEW YORK, 28 Sept — Naib Presiden China Han Zheng berkata walau apa jua perubahan berlaku dalam landskap global, China akan terus komited terhadap usaha mencapai keamanan dan pembangunan, mempertahankan keadilan dan kesaksamaan, serta memenuhi komitmennya terhadap multilateralisme.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Debat Umum Sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini, pada Sabtu.
Han berkata dunia kini berdepan dengan gelombang cabaran yang berterusan, termasuk tercetusnya konflik geopolitik dan jurang pembangunan yang semakin melebar.
Justeru, beliau menegaskan semakin banyak negara yang sedia berganding bahu untuk menangani pelbagai kesukaran dan cabaran serta meningkatkan kesejahteraan seluruh umat manusia.
Beliau menyeru agar semua negara memelihara orde antarabangsa pascaperang dan mewujudkan keamanan yang berkekalan berlandaskan keselamatan bersama.
Han turut menekankan keperluan untuk menangani cabaran pembangunan global dan menjana kemakmuran bersama menerusi keterbukaan dan kerjasama.
Interaksi dan pembelajaran bersama antara tamadun perlu digalakkan, kata beliau sambil menambah bahawa negara-negara perlu membina semula perpaduan dan kepercayaan melalui komunikasi dan dialog.
Beliau berkata multilateralisme perlu dijunjung tinggi dan kesaksamaan perlu ditegakkan menerusi tindakan nyata.













Tinggalkan Balasan