Trump Nafi Cadang Jual Senjata AS Kepada China

ISTANBUL, 29 Sept — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin menafikan dakwaan bahawa beliau mencadangkan penjualan peralatan ketenteraan AS kepada China semasa sidang kemuncak dua hala baru-baru ini dengan Presiden China Xi Jinping, lapor Anadolu Ajansi.

“Saya tidak pernah dengar perkara itu,” kata Trump kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara yang dibangkitkan Duta Besar AS ke China David Perdue pada Ahad.

“Kami tidak membincangkannya. Mungkin beliau bercakap mengenai Taiwan,” kata beliau. 

Trump berkata Beijing mungkin berminat mendapatkan peralatan pertahanan AS kerana Washington menghasilkan sistem yang lebih baik, namun menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan.

China “mungkin mahu membelinya kerana kami memang menghasilkan peralatan yang lebih baik,” kata Trump sambil menyifatkan perkara itu sebagai “cadangan yang baik”.

Perdue sebelum ini memberitahu penyiar AS Fox News bahawa Trump sering memberitahu pemimpin negara lain bahawa Washington menjual peralatan pertahanan di seluruh dunia dan pernah bertanya kepada Xi “pada suatu ketika” sama ada Beijing berminat membeli senjata AS.

Seorang pegawai Jabatan Negara AS kemudiannya memberitahu South China Morning Post bahawa undang-undang persekutuan melarang penjualan peralatan pertahanan kepada China dan Washington tidak mempunyai sebarang rancangan atau tawaran untuk membekalkan senjata kepada Beijing.

AS sebelum ini pernah menjual senjata kepada China. 

Ketika hubungan strategik AS-China lebih rapat dalam menghadapi Kesatuan Soviet pada 1980-an, Washington membekalkan Beijing dengan peralatan ketenteraan termasuk radar antipenggempur AN/TPQ-37 dan torpedo Mark-46.