KUALA LUMPUR, 1 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan kepada Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing atas komitmen dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.
Anwar menyatakan demikian ketika menerima kunjungan hormat perpisahan Ouyang hari ini.
Beliau berkata Malaysia dan China telah membina jalinan yang kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan dan kebudayaan.
Perdana Menteri berkata kerjasama strategik seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), teknologi 5G, kecerdasan buatan, pelabuhan dan industri nadir bumi turut membuka ruang baharu untuk manfaat bersama.
“Kedua-dua negara akan terus memperkukuh persahabatan dan kerjasama yang telah sekian lama terjalin, serta meneroka bidang-bidang baharu demi kepentingan rakyat, keamanan dan kemakmuran rantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada pertemuan itu, Anwar berkata beliau turut menerima kiriman khas daripada Perdana Menteri China Li Qiang berupa buku mengenai Hangzhou yang baru-baru dikunjunginya dan merupakan kampung halaman pemimpin berkenaan.
“Saya amat menghargai ingatan dan perhatian tersebut,” katanya.
Anwar mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou bermula 22 Sept lepas atas undangan rakan sejawatnya.
Lawatan itu memberi tumpuan kepada dua agenda utama iaitu menghadiri Pertandingan WorldSkills Shanghai di Shanghai dan Ekspo Perdagangan Digital Global di Hangzhou.















Tinggalkan Balasan