SINGAPURA, 2 Okt — Tentera Laut Republik Singapura (RSN) melancarkan kapal peronda luar pesisir (OPV) pertamanya, Sentinel, bagi memenuhi peningkatan keperluan dan skop operasi keselamatan maritim yang lebih luas.
Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) memaklumkan OPV itu dilengkapi keupayaan yang disesuaikan, membolehkannya bertindak balas terhadap pelbagai insiden maritim secara terkawal dan setimpal.
“Mengambil alih misi Kapal Keselamatan dan Tindak Balas Maritim (MSRV) kelas Sentinel, OPV memberikan fleksibiliti untuk melaksanakan operasi keselamatan maritim dan melindungi perairan wilayah Singapura.
“Kapal berkenaan akan beroperasi bersama kapal daripada agensi kerajaan lain seperti Pengawal Pantai Polis dan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura dalam pelbagai misi keselamatan maritim,” menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Jumaat.
Mindef memaklumkan Sentinel akan menjalani beberapa siri ujian penerimaan platform dan ujian laut bagi mengesahkan sistem serta prestasi kapal sebelum berlepas ke Singapura, susulan pelancarannya di limbungan kapal Fassmer di Berne, Jerman.
“Pelancaran Sentinel mencerminkan hubungan pertahanan yang kukuh dan substantif antara Singapura dan Jerman,” menurut kementerian itu.












Tinggalkan Balasan