KUALA LUMPUR, 11 Okt — Lanjutan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat perkapalan dan kadar duti setem tetap bagi pembiayaan kapal yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka dapat mengurangkan kekangan pembiayaan yang dihadapi pemilik kapal di Malaysia.
Ini khususnya bagi pemilik kapal yang berdepan dengan syarat cagaran yang ketat serta ketidakpadanan antara tempoh pinjaman dengan jangka hayat penggunaan kapal.
Penganalisis maritim Nazery Khalid berkata dua insentif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2027 itu boleh mengurangkan kos pembiayaan kapal, khususnya bagi kapal yang dibina dalam negara, di samping mewujudkan keadaan yang lebih kondusif untuk pembangunan kapasiti perkapalan domestik.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelanjutan pengecualian penuh cukai pendapatan bagi syarikat perkapalan Malaysia sehingga tahun taksiran 2036 itu semasa membentangkan Belanjawan 2027 yang bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.
Kerajaan juga memperkenalkan kadar duti setem tetap bagi pinjaman untuk pembelian atau pembinaan kapal Malaysia, iaitu RM2,000 bagi pinjaman sehingga RM100 juta dan RM5,000 bagi pinjaman melebihi RM100 juta.
“Langkah-langkah ini boleh menyokong pembangunan kapasiti perkapalan tempatan dalam sektor utama seperti tenaga, komoditi pukal dan perkapalan kontena, sekali gus membantu menampung peningkatan jumlah perdagangan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata Nazery kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi perbincangan panel bertajuk “Memperkukuh Rantaian Nilai Hiliran Petroleum Malaysia serta Mengenal Pasti Jurang dan Faktor Pemboleh”, yang dianjurkan oleh Maritime Network Sdn Bhd dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.
Nazery berkata insentif tersebut juga berupaya mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap kapal asing dan mengehadkan aliran keluar pertukaran asing, di samping memenuhi permintaan sekian lama daripada pemilik kapal tempatan untuk mendapatkan syarat pembiayaan yang lebih menyokong perniagaan mereka.
“Insentif tersebut juga boleh membantu syarikat perkapalan, khususnya pengendali yang lebih kecil, mempercepat pendigitalan bagi mengekalkan daya saing di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik, perubahan besar dalam rantaian bekalan global serta peningkatan kos tenaga,” katanya.
Beliau berkata syarikat perkapalan juga perlu melabur dalam kapal moden yang mempunyai ciri-ciri mesra alam bagi memenuhi keperluan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, selaras dengan aspirasi negara ke arah sifar bersih karbon.
TINGKATKAN PENEMPATAN LATIHAN ATAS KAPAL BAGI KADET MARITIM
Sementara itu Nazery berkata kadet dari akademi maritim Malaysia, termasuk Akademi Maritim Malaysia, berdepan kesukaran untuk mendapatkan penempatan di atas kapal komersial bagi memperoleh pengalaman praktikal di laut yang diperlukan untuk melayakkan diri sebagai pelaut profesional.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menghubungkan akses kepada pembiayaan daripada institusi kewangan milik kerajaan seperti Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank), atau dana maritim khas yang diperuntukkan di bawah belanjawan negara, kepada penyediaan tempat latihan kadet di atas kapal.
“Jika kerajaan dapat mewartakan keperluan bagi syarikat perkapalan di Malaysia untuk menyediakan tempat latihan kepada kadet, langkah itu akan dapat menangani isu yang telah lama wujud serta amat dihargai, bukan sahaja oleh akademi maritim di Malaysia malah oleh para kadet itu sendiri.
“Namun begitu, jelas sekali ini merupakan keputusan komersial, yang mana kerajaan tidak boleh memaksa mereka (syarikat perkapalan),” kata Nazery.
Beliau berkata bahawa langkah ini dapat membantu mengurangkan kekurangan tempat latihan, di samping menggalakkan lebih ramai golongan muda Malaysia untuk menceburi kerjaya di laut, memandangkan adanya peluang untuk mendapatkan latihan praktikal di atas kapal.













Tinggalkan Balasan