KUALA LUMPUR, 11 Okt — Langkah menaikkan had pelepasan cukai individu kepada RM12,000 dan mengurangkan kadar cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027, berpotensi merangsang perbelanjaan domestik serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara, kata pakar ekonomi.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata pengurangan cukai, memberi ruang kepada isi rumah untuk meningkatkan perbelanjaan bagi keperluan seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan makanan.
Beliau berkata golongan berpendapatan pertengahan atau M40 mendapat manfaat daripada peluasan pelepasan cukai tersebut, termasuk bagi perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, yuran pengajian serta pembelian kasut sukan.
“Lebihan pendapatan akibat pengurangan cukai ini akan memberi ruang kepada mereka untuk berbelanja dan secara tidak langsung meningkatkan penggunaan domestik, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, mengumumkan kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain pengurangan kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM100,000 kepada 18 peratus dan RM100,000 hingga RM150,000 kepada 24 peratus.
Kerajaan turut memperluas pelepasan cukai bagi penjagaan selepas bersalin, tuisyen anak, langganan kecerdasan buatan (AI) serta kos penvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010, merupakan langkah tepat mengambil kira peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata langkah berkenaan dapat membantu meringankan beban kewangan isi rumah berpendapatan sederhana yang berdepan peningkatan kos perumahan, pendidikan dan penjagaan keluarga.
“Memandangkan kos sara hidup terus meningkat, maka pelepasan cukai ini akan dapat meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, terutamanya bagi golongan M40,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr Saravanan Thambirajah, turut mengalu-alukan kenaikan had pelepasan cukai individu dan pengurangan kadar cukai yang berpotensi mengurangkan liabiliti cukai dan meningkatkan pendapatan boleh guna pembayar cukai yang layak.
“Walaupun peningkatan jumlah pelepasan cukai ini dapat membantu meringankan beban kewangan, namun kami berpandangan, langkah itu bukan penyelesaian menyeluruh kerana kos pendidikan, penjagaan anak, rawatan kesihatan, insurans perubatan dan perumahan masih menjadi komitmen utama keluarga M40.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu terus memperkukuh perkhidmatan awam yang berkualiti dan mampu milik, termasuk akses kepada hospital kerajaan yang cekap, pengangkutan awam yang boleh dipercayai serta kemudahan penjagaan anak pada kadar berpatutan.
Bagi Pegawai Tadbir dan Diplomatik Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) di Putrajaya Muhamad Ilham Nordin, peluasan pelepasan cukai khususnya bagi langganan kecerdasan buatan (AI) dan pembelian kasut sukan, merupakan antara langkah yang relevan dengan keperluan semasa golongan M40 sepertinya.
“Pelepasan cukai bagi langganan AI contohnya, amat membantu saya dalam terus meningkatkan produktiviti kerja, selain dapat membuka peluang pendapatan sampingan dalam ekonomi digital. Pelepasan cukai bagi kasut sukan juga bermanfaat kerana dapat menggalakkan gaya hidup lebih sihat, khususnya di Putrajaya yang mempunyai banyak taman rekreasi awam,” katanya.
Beliau yang memperoleh pendapatan bersih melebihi RM4,000 sebulan, manakala isterinya yang bekerja sebagai guru tadika swasta, memperoleh gaji bersih RM2,000, berkata kos pengangkutan kekal antara komitmen kewangan utama keluarganya, termasuk ansuran kenderaan, bahan api, penyelenggaraan dan parkir.
“Oleh itu saya ingin mencadangkan kerajaan agar dapat mempertimbangkan rebat atau subsidi penyelenggaraan kenderaan bagi membantu isi rumah yang bergantung pada kenderaan persendirian,” katanya.













Tinggalkan Balasan