ARAU, 11 Okt — Usaha melindungi kanak-kanak perlu bermula di rumah dan diperkukuh di sekolah serta diperluas melalui penglibatan aktif masyarakat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran selamat serta bebas daripada penderaan, pengabaian, keganasan dan eksploitasi.
“Usaha berterusan kerajaan, agensi berkaitan, keluarga dan komuniti amat penting bagi memastikan setiap anak di Perlis mendapat peluang yang adil untuk belajar, berkembang dan mencapai potensi terbaik mereka,” titah Raja Muda Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa menyempurnakan majlis perasmian sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perlis 2026 di Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis di sini seperti dimaklumkan menerusi kenyataan Istana Arau hari ini.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyeru ibu bapa, penjaga dan masyarakat supaya tidak berdiam diri sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlaku penderaan kanak-kanak, sebaliknya mendapatkan bantuan serta menyalurkan maklumat melalui saluran sewajarnya termasuk Talian Kasih 15999 dengan segera.
Raja Muda Perlis menyokong usaha memperkasakan Pasukan Pelindung Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak sebagai rakan strategik pada peringkat akar umbi, khususnya dalam membantu mengesan risiko lebih awal, menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak.
Mengenai sambutan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengajak semua pihak menjadikannya sebagai wadah untuk memperkukuh komitmen bersama dalam membina persekitaran yang lebih selamat, penyayang dan menyokong perkembangan setiap kanak-kanak.














Tinggalkan Balasan