KUALA LUMPUR, 11 Okt — Pelbagai sajian, budaya dan tarikan pelancongan dipromosikan di Malaysia Food & Tourism Fair 2026 di Berne, Switzerland baru-baru ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.
Kedutaan Besar Malaysia di Berne dalam kenyataannya kepada Bernama memaklumkan lebih 450 pengunjung hadir memeriahkan program yang diadakan pada 3 Okt lepas di dewan Mattenhofsaal bagi menonjolkan keunikan budaya, warisan dan kepelbagaian kulinari negara.
Hadirin terdiri daripada masyarakat tempatan, komuniti antarabangsa serta rakyat Malaysia yang menetap di Switzerland.
“Pengunjung turut berpeluang mengenali Malaysia dengan lebih dekat menerusi persembahan dan aktiviti kebudayaan serta mendapatkan maklumat mengenai pelbagai destinasi dan tarikan pelancongan di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut kedutaan, program berkenaan bukan sahaja membawa cita rasa dan budaya Malaysia lebih dekat kepada masyarakat Switzerland, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara komuniti Malaysia, masyarakat tempatan dan rakan-rakan Malaysia.
Program itu dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Berne dengan kerjasama Tourism Malaysia Frankfurt.











Tinggalkan Balasan