KUALA LUMPUR, 13 Okt — Tourism Malaysia dan Alipay+, platfom pembayaran dompet digital bersepadu milik Ant International, memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh perkhidmatan pelancongan digital, perdagangan rentas sempadan dan penglibatan peniaga menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027).
Dalam kenyataan hari ini, Tourism Malaysia memaklumkan kerjasama itu menggabungkan kepakaran agensi berkenaan dalam pemasaran destinasi dengan rangkaian dompet digital global serta teknologi kecerdasan buatan (AI) Alipay+ bagi menghubungkan pelancong antarabangsa dengan pengusaha pelancongan tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Inisiatif itu turut menggalakkan pelancong meneroka destinasi di luar hab pelancongan utama, sekali gus memperluas manfaat ekonomi kepada perniagaan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata kerjasama itu akan memudahkan pelancong meneroka Malaysia melalui pengalaman digital yang lebih lancar, di samping memperkukuh daya saing negara sebagai destinasi pelancongan pintar.
“Teknologi digital terus mengubah cara orang ramai merancang dan menikmati perjalanan, dan Tourism Malaysia komited untuk memanfaatkan penyelesaian inovatif bagi meningkatkan kemudahan serta penglibatan pelawat.
“Dengan memanfaatkan platform digital yang mempunyai capaian antarabangsa yang luas, kami dapat mendekati pelancong secara lebih berkesan sambil memperkenalkan kepelbagaian pengalaman pelancongan Malaysia kepada khalayak global,” katanya.
Menurut kenyataan itu, lebih 600,000 peniaga Malaysia, khususnya PKS, menerima pembayaran menerusi dompet digital dan aplikasi perbankan rakan kongsi Alipay+ pada separuh pertama 2026, meningkat lebih 70 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Perbelanjaan pelancong menerusi DuitNow turut meningkat lebih 60 peratus dalam tempoh berkenaan, dengan Alipay+ merekodkan bahagian terbesar transaksi kod respons pantas (QR) antarabangsa di seluruh negara.
Alipay+ kini menghubungkan lebih dua bilion akaun pengguna dengan 150 juta peniaga di 210 destinasi.
Sementara itu, Pengurus Besar Alipay+ Ant International bagi Asia Tenggara, Asia Selatan, Australia dan New Zealand (ANZ), Michael Guo berkata kerjasama itu akan membantu perniagaan tempatan beralih daripada sekadar menerima pembayaran antarabangsa kepada usaha mendekati pelanggan global secara lebih aktif.
“Perdagangan rentas sempadan kini berkembang melangkaui urusan pembayaran semata-mata. AI kini dapat menghubungkan minat pelancong dengan destinasi, perniagaan dan tawaran yang bersesuaian.
“Melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia, kami membantu perniagaan tempatan beralih daripada sekadar menerima pembayaran antarabangsa kepada usaha mendekati pelanggan global secara aktif, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan Malaysia, khususnya PKS, untuk turut menikmati pertumbuhan pelancongan dan perdagangan rentas sempadan,” katanya.
Komponen utama kerjasama itu ialah Alipay+ Voyager, ejen pelancongan berasaskan AI yang terbina dalam dompet digital dan mengesyorkan aktiviti kebudayaan, kulinari serta pengalaman pelancongan yang disahkan Tourism Malaysia berdasarkan minat pelancong, sekali gus membantu perniagaan tempatan mendekati pelanggan antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan turut membantu peniaga Malaysia mendekati pelancong antarabangsa menerusi platform dompet elektronik global, tawaran pelancongan yang diperibadikan serta kempen penjimatan 20 peratus melalui DuitNow kendalian Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi menggalakkan perbelanjaan di premis perniagaan tempatan.














Tinggalkan Balasan