Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC), Zhao Leji dan Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam, Tran Thanh Man mengadakan pertemuan di Dewan Besar Rakyat di Beijing, pada Isnin.
Kedua-dua pihak juga bersama-sama mempengerusikan mesyuarat kali kedua Jawatankuasa Bersama Badan Legislatif China-Vietnam.
Zhao menyatakan bahawa pada April tahun ini, Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Vietnam, To Lam telah mengadakan perbincangan yang berkesan untuk menentukan hala tuju bagi membina komuniti berkongsi nasib bersama China-Vietnam yang holistik dan mempunyai makna strategik.
Beliau turut menzahirkan kesediaan China bekerjasama dengan Vietnam bagi memantapkan pembinaan komuniti berkongsi nasib kedua-dua negara, dengan mengikuti panduan strategik pemimpin tertinggi Parti dan negara kedua-dua pihak, serta enam matlamat keseluruhan, iaitu “membina rasa saling percaya antara negara, mengukuhkan kerjasama keselamatan, memperkasa kerjasama dalam bidang yang substantif, menjana impak sosial yang kondusif, meningkatkan koordinasi pelbagai hala, dan menangani perselisihan secara berhemah”.
China ingin bersinergi dengan negara-negara ASEAN termasuk Vietnam menggembleng tenaga untuk memajukan pembinaan ‘lima rumah’ yang bersifat aman, tenteram, makmur, indah, dan mesra.
Dalam pada itu, Tran Thanh Man berkata, Vietnam menganggap hubungan dengan China sebagai pilihan strategik dan keutamaan dalam diplomasi negaranya, sanggup mengukuhkan rasa saling percaya dari segi strategik, memperluas kolaborasi dalam bidang perdagangan dan pelaburan, infrastruktur, teknologi, serta mempererat pertukaran budaya di kalangan rakyat.
Perhimpunan Kebangsaan Vietnam juga mahu memperkasakan kerjasama dengan NPC, memanfaatkan mekanisme Jawatankuasa Bersama Badan Legislatif Vietnam-China, saling belajar dan menimba pengalaman dalam bidang penggubalan undang-undang, pengawasan, dan kerja perwakilan, sekali gus melonjakkan ikatan Vietnam-China ke tahap baharu, ujar beliau.











Tinggalkan Balasan