Penerbangan Terus Miri-subang Bermula 1 Dis, Perkukuh Hubungan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Penduduk Miri kini mempunyai alternatif perjalanan udara yang lebih strategik apabila perkhidmatan penerbangan baharu terus ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, dijadualkan mula beroperasi pada 1 Dis ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata laluan itu bakal memudahkan perjalanan penduduk yang kerap berulang alik atas urusan kerja, perniagaan, pendidikan, kesihatan dan keluarga.

Beliau berkata lokasi lapangan terbang itu lebih dekat dengan pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya yang dapat memberikan kemudahan tambahan khususnya dari segi akses dan perancangan perjalanan darat.

“Saya menyambut baik pengumuman ini kerana penambahan laluan berkenaan bukan sekadar soal pilihan penerbangan tetapi juga usaha meningkatkan kesalinghubungan Miri dengan pusat ekonomi utama negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chiew yang juga Ahli Parlimen Miri berkata beliau sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan syarikat penerbangan Batik Air bagi membincangkan potensi pembukaan laluan tersebut dan menyambut baik perkembangan positif yang kini menuju ke peringkat pelaksanaan.

Beliau berkata hubungan laluan udara yang lebih baik berpotensi memberikan manfaat kepada sektor perniagaan dan pelancongan selain memudahkan pergerakan rakyat antara Miri dengan Lembah Klang.

“Saya percaya kemudahan pengangkutan udara yang lebih baik amat penting bagi sebuah bandar seperti Miri yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang. Lebih banyak pilihan penerbangan bermakna lebih banyak kemudahan untuk rakyat dan peluang merancakkan aktiviti ekonomi tempatan,” katanya.