RABAT (Maghribi)/ISTANBUL, 13 Okt — Parti Authenticity and Modernity (PAM) yang memenangi pilihan raya Maghribi bersetuju membentuk kerajaan gabungan bersama tiga parti lain yang secara bersama menguasai 207 kerusi di Parlimen, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin.
Gabungan itu terdiri daripada Parti Istiqlal, Socialist Union of Popular Forces (USFP) dan Parti Progress and Socialism (PPS), selain PAM, susulan rundingan pusingan kedua di Rabat.
Keempat-empat parti itu secara keseluruhan menguasai 207 daripada 395 kerusi Dewan Perwakilan, melebihi 198 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah.
PAM menguasai 97 kerusi, diikuti Parti Istiqlal dengan 65 kerusi, USFP (26) dan PPS (19).
Parti-parti berkenaan memaklumkan bahawa mereka akan mencadangkan calon bagi jawatan menteri dan merangka program kerajaan secepat mungkin.
Raja Maghribi Raja Mohammed VI pada 29 Sept menitahkan pemimpin PAM, Fatima Ezzahra El Mansouri, supaya membentuk kerajaan baharu selepas partinya memperoleh kerusi terbanyak dalam pilihan raya Parlimen pada 23 Sept.
Parti National Rally of Independents (RNI), yang menerajui kerajaan sebelum ini dan menduduki tempat kedua dalam pilihan raya dengan 66 kerusi, tidak menyertai kerajaan gabungan baharu itu.









Tinggalkan Balasan