UPSI, Honor Malaysia Meterai MoA Wujudkan Honor AI Lab

IPOH, 14 Okt — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan HONOR Technology (Malaysia) Sdn Bhd memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi mewujudkan HONOR AI Lab @ UPSI sebagai usaha memperkukuh pendidikan, penyelidikan dan inovasi dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Majlis penandatanganan tersebut disempurnakan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Pengurus Besar HONOR Chen Long dan disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada satu majlis berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di Tanjong Malim, hari ini.

Md Amin berkata penubuhan makmal itu, merupakan langkah strategik dalam memperluas akses kepada teknologi AI, serta menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman industri kepada warga universiti.

Beliau berkata HONOR AI Lab @ UPSI bukan sahaja menjadi platform untuk pelajar meneroka teknologi AI, malah membuka ruang kepada pensyarah dan penyelidik untuk memperkembangkan penyelidikan serta menghasilkan inovasi yang relevan dengan keperluan ekonomi digital negara.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada warga UPSI, untuk memperoleh pendedahan praktikal terhadap perkembangan teknologi AI, sekali gus merapatkan jurang antara pembelajaran teori di bilik kuliah dengan aplikasi sebenar dalam industri.

“Melalui kemudahan dan program yang disediakan, pelajar dapat meningkatkan kompetensi teknikal serta kemahiran insaniah, manakala pensyarah berpeluang memperkukuh pengajaran dan penyelidikan melalui penggunaan teknologi AI,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UPSI, malam ini.

Md Amin berkata makmal berkenaan akan berfungsi sebagai hab pelaksanaan pelbagai aktiviti berkaitan AI termasuk bengkel, program pensijilan profesional, peluang mobiliti pelajar, latihan industri, pertandingan inovasi serta sesi perkongsian bersama pihak industri.

Beliau berkata bagi memperkukuh keupayaan akademik dan penyelidikan, pensyarah UPSI turut mendapat akses kepada peralatan pengkomputeran AI, alat pembangunan dan perkakasan sokongan bertaraf industri bagi menyokong penerapan aplikasi AI dalam kurikulum, serta pelaksanaan projek penyelidikan dan inovasi.

“Kemudahan itu juga dijangka membuka peluang kerjasama antara ahli akademik dengan pakar industri, dalam meneroka perkembangan teknologi AI dan menghasilkan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Dalam pada itu, Md Amin berkata pelajar UPSI akan berpeluang menyertai aktiviti pembelajaran berasaskan projek, pertandingan inovasi, program mobiliti dan latihan industri bagi meningkatkan pendedahan praktikal terhadap teknologi AI.

“Pelaksanaan program pensijilan profesional turut membolehkan pelajar membangunkan kompetensi teknikal serta kemahiran keusahawanan yang selaras dengan standard kompetensi kebangsaan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam landskap pekerjaan yang semakin dipacu teknologi,” katanya.

Sementara itu, Chen berkata kerjasama dengan UPSI mencerminkan komitmen HONOR untuk memperluas akses kepada ekosistem AI, serta memperkasakan pembangunan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri teknologi yang semakin berkembang.

“HONOR komited untuk merapatkan ekosistem AI dengan semua pengguna dan perkongsian dengan UPSI ini, langkah penting dalam memperkasakan generasi bakat Malaysia yang seterusnya.

“Dengan membuka sempadan industri kami dan bekerjasama rapat dengan akademik, kami berharap dapat bersama-sama mewujudkan ekosistem perkongsian nilai yang memberi manfaat kepada pelajar, penyelidik dan komuniti yang lebih luas,” katanya.

Di bawah perjanjian selama dua tahun itu, HONOR AI Lab akan ditempatkan di Perpustakaan Tuanku Bainun, yang dimiliki serta diuruskan oleh Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) UPSI.