SEPANG, 19 Okt — Malaysia Aviation Group (MAG) menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan emisi sebanyak 30 hingga 35 peratus menjelang 2030 berbanding paras pada 2019, menerusi Pelan Hala Tuju Kemampanan Jangka Sederhana 2026-2035 yang dilancarkan hari ini.
Kumpulan itu turut menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan emisi sebanyak 40 hingga 45 peratus menjelang 2035, sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjangnya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata pelan hala tuju itu, yang menyokong Pelan Perniagaan Jangka Panjang Kumpulan 3.0, menetapkan keutamaan yang boleh diukur merangkumi operasi, kemudahan, rantaian nilai, tenaga kerja dan tadbir urus.
Beliau berkata usaha mengurangkan intensiti pelepasan daripada operasi penerbangan akan tertumpu pada pembaharuan armada, peningkatan kecekapan penggunaan bahan api, elektrifikasi operasi darat dan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF), selain penggunaan kredit karbon yang memenuhi keperluan kawal selia.
“Pelan hala tuju ini menetapkan keutamaan yang boleh diukur merangkumi operasi, kemudahan, rantaian nilai, tenaga kerja dan tadbir urus kami. Kejayaan pelan ini bukan diukur berdasarkan dokumen itu sendiri, tetapi perubahan yang terhasil daripadanya,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Hari Kemampanan Penerbangan 2026 di sini hari ini.
Nasaruddin berkata pelaksanaan pelan itu memerlukan usaha berterusan seluruh MAG serta kerjasama erat dengan rakan industri.
Katanya, kerjasama dengan Malaysia Airports membuka ruang untuk menyelaraskan inisiatif kemampanan dalam bidang operasi yang saling berkaitan, khususnya penggunaan tenaga lebih bersih, peningkatan kecekapan terminal dan elektrifikasi operasi darat.
Selain itu, MAG menyasarkan pengurangan intensiti penggunaan tenaga bangunan sebanyak 20 peratus berbanding paras pada 2023, serta pengalihan 55 peratus sisa daripada tapak pelupusan menjelang 2030.
Kumpulan itu turut berhasrat memperkukuh pendekatan berkaitan hak asasi manusia serta meningkatkan perwakilan wanita dalam tenaga kerjanya kepada 37 peratus menjelang 2030 dan 40 peratus menjelang 2035, dengan tumpuan khusus pada jawatan teknikal.
Nasaruddin berkata MAG akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan hala tuju itu dalam keputusan operasi harian, pemantauan kemajuan dan pelaporan secara telus mengenai cabaran yang dihadapi.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, pengawal selia, lapangan terbang, syarikat penerbangan dan industri sokongan bagi memajukan kemampanan sektor penerbangan, memandangkan kemajuan bergantung pada usaha seluruh ekosistem penerbangan mencapai matlamat bersama.
Katanya, usaha memperluas akses kepada SAF, menyediakan infrastruktur pengecasan bagi peralatan darat elektrik dan menambah baik sistem pemulihan sisa memerlukan penyelarasan di peringkat industri.
Beliau berkata usaha kemampanan MAG mula dipergiat pada 2021 menerusi penubuhan struktur tadbir urus kemampanan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif di seluruh kumpulan, termasuk penerbangan sulung menggunakan SAF.
“Sejak itu, kami memperkukuh rangka kerja perakaunan gas rumah hijau, perolehan mampan dan dasar perdagangan karbon bagi menyokong pembuatan keputusan yang lebih baik, meningkatkan ketelusan serta mempersiapkan kumpulan menghadapi keperluan kemampanan yang terus berkembang.
“Usaha ini mula menunjukkan hasil yang boleh diukur apabila MAG merekodkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 22 peratus berbanding paras pada 2019. Kami juga berjaya mengelakkan penggunaan 30.1 juta barangan plastik sekali guna dalam penerbangan, selain mengurangkan intensiti penggunaan tenaga bangunan sebanyak 13 peratus antara 2023 dan 2025,” katanya.
Dalam pada itu, MAG meneruskan pelaburan dalam transformasi jangka panjang operasinya menerusi program pembaharuan armada bagi menyokong sasaran mengendalikan 117 pesawat dalam armada utama menjelang 2035.
Program itu dijangka menjadi pemacu utama pengurangan pelepasan emisi pada masa hadapan, selain meningkatkan prestasi operasi dan pengalaman pelanggan.
MAG juga menjadi kumpulan syarikat penerbangan pertama di ASEAN memperoleh pensijilan Perolehan Mampan di bawah Program Kemampanan Bersepadu (ISP) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), sekali gus memperkukuh komitmennya untuk menerapkan prinsip kemampanan dalam keputusan perolehan dan hubungan dengan pembekal.
Nasaruddin berkata pencapaian setakat ini menyediakan asas kukuh bagi fasa seterusnya usaha kemampanan MAG, namun sasaran jangka panjang itu memerlukan kerjasama lebih erat dalam ekosistem penerbangan, inovasi berterusan dan pelaksanaan yang lebih tersusun.













Tinggalkan Balasan