GEORGE TOWN, 19 Okt — Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menutup dan menyita dua premis perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan warga asing di Permatang Damar Laut, Batu Maung dekat sini dalam Ops Tegas, Sabtu lepas.
MBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi pada 8.30 malam itu melibatkan sebuah premis kedai makanan dan minuman serta sebuah kedai gunting rambut yang didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pemeriksaan mendapati tiga warga asing dipercayai mengendalikan premis kedai makanan dan minuman, manakala seorang warga asing mengurus operasi kedai gunting rambut.
“MBPP melaksanakan tindakan penutupan terhadap dua premis itu, menyita peralatan perniagaan yang berkaitan selain diarahkan menghentikan semua aktiviti perniagaan serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Menurut MBPP, tindakan itu dibuat mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.
MBPP memaklumkan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi undang-undang, tidak menimbulkan kacau ganggu dan tidak menjejaskan kepentingan awam.














Tinggalkan Balasan