Pemodenan Proses Perjalanan Penumpang, Strategi Penyahkarbonan Sektor Pengangkutan Antara Tumpuan TXA2026

KUALA LUMPUR, 19 Okt — Pemodenan proses perjalanan penumpang sektor penerbangan menggunakan identiti digital dan biometrik, serta strategi penyahkarbonan sektor pengangkutan antara tumpuan utama program Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 yang bermula esok di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). 

Kementerian Pengangkutan memaklumkan ekspo bertaraf antarabangsa yang berlangsung hingga 22 Okt itu menghimpunkan pemain industri pengangkutan bagi mengetengahkan teknologi, inovasi dan penyelesaian terkini dalam sektor pengangkutan serta logistik.

Majlis pembukaan rasmi TXA2026 akan disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Selain transformasi identiti digital bagi penerbangan menerusi sesi “One ID, From Vision to Reality: Transforming the Passenger Journey with Digital Identity and Biometrics”, ekspo itu turut memfokuskan usaha mengurangkan pelepasan karbon menerusi Forum Strategi Pengangkutan 2026 bertemakan “Decarbonising Transport: From Cleaner Fuels to Practical Implementation”.

“Forum berkenaan akan membincangkan bahan api lebih bersih, termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF) dan bahan api marin rendah karbon, serta kesiapsiagaan infrastruktur dan pelaksanaan pengangkutan rendah karbon,” menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan.

Bagi sektor maritim, penganjuran Forum Maritim 2.0 menyasarkan semakan serta pembaharuan undang-undang maritim negara, perkembangan industri bunkering, serta integrasi teknologi pintar dan automasi bagi meningkatkan tahap keselamatan.   

Menurut kenyataan itu lagi, prapembukaan TXA2026 didahului dengan bengkel International Air Transport Association (IATA) yang melabuhkan tirainya hari ini, dan hari pertama penganjuran Kongres Keselamatan Jalan Raya 2026 yang membincangkan tingkah laku pengguna jalan raya serta pembentukan dasar berasaskan bukti.