KUALA LUMPUR, 23 Okt — Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini boleh menghela nafas lega dengan pengumuman inisiatif penangguhan dan kelonggaran bayaran balik menerusi Belanjawan 2027.
Langkah itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah, malah menjadi suntikan semangat kepada para graduan untuk menyusun semula kewangan masa depan mereka dengan lebih yakin.
Petugas Pereka Grafik di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hafizul Fiqri Mazlan, 41, yang telah melunaskan sepenuhnya pinjaman PTPTN pada 2019 menyifatkan inisiatif itu sebagai kemudahan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua peminjam.
“Bila kerajaan bagi penangguhan penuh untuk gaji bawah RM2,500 dan cuma minta RM50 sebulan untuk yang gaji bawah RM3,000, ini memang rezeki untuk peminjam lebih-lebih lagi kepada yang baru bekerja. RM50 sahaja, takkan nak kata terbeban lagi.
“Diskaun 10 peratus, masa saya dulu cuma dapat kalau bayar habis terus, sekarang lagi mudah dapat diskaun. Lagipun kita bayar balik duit yang dipinjam, dah pinjam kenalah bayar balik. Kita bagi pula pada adik-adik kita peluang untuk sambung belajar,” katanya yang juga bekas penuntut Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM).
Bagi Jeremiah Abraham Selvaraj, 43, pula, pinjaman pendidikan itu amat bermakna dalam mengubah taraf hidup keluarganya sehingga beliau berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekatronik) di Monash University Malaysia.
“Tanpa bantuan kewangan ini, mustahil bagi saya untuk menamatkan pengajian tinggi saya. Pinjaman pendidikan ini telah banyak membantu mengangkat taraf hidup anak-anak daripada keluarga kelas sosioekonomi bawahan dan pertengahan.
“Berkenaan inisiatif penangguhan bayaran, kadar minimum RM50 sebulan, saya melihat ini sebagai satu langkah yang sangat penuh ihsan dan bertimbang rasa. Usaha ini amat membantu meringankan beban graduan baharu,” katanya yang kini bertugas sebagai konsultan keselamatan siber.
Beliau yang memegang rekod pembayaran balik secara konsisten tanpa tunggakan berkata tawaran diskaun 10 peratus bagi bayaran teratur menjadi pendorong utama untuk mengekalkan disiplin kewangan berkenaan.
Pegawai khidmat pelanggan Carol Chan, 24, berkata bagi graduan yang baharu melangkah ke alam pekerjaan, dasar penangguhan bayaran balik untuk pendapatan bawah RM2,500 amat dihargai kerana dapat meringankan beban mereka.
“Bagi graduan yang baharu melangkah ke alam pekerjaan, inisiatif ini sangat membantu meringankan beban kewangan kami untuk bertapak dan menstabilkan perbelanjaan harian, kukuhkan kewangan dahulu,” katanya yang juga peminjam PTPTN.
Eksekutif pemasaran di syarikat swasta, Fatin Yusoff, 36, pula berkata diskaun 10 peratus bagi peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur dilihat sebagai motivasi untuk terus membuat pembayaran dengan disiplin.
Beliau yang telah membuat pembayaran sejak empat tahun lepas menyifatkan insentif itu sebagai satu bentuk penghargaan yang wajar atas komitmen peminjam.
“Bila ada insentif sebegini, rasa macam usaha kita dihargai. Penjimatan daripada diskaun itu sekurang-kurangnya boleh dimanfaatkan untuk tabung kecemasan atau perbelanjaan keperluan lain,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas mengumumkan penangguhan bayaran balik PTPTN bagi peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan.
Selain itu, peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50, manakala peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur pula akan diberikan diskaun sebanyak 10 peratus.













Tinggalkan Balasan