SANA’A, 23 Okt — Sekurang-kurangnya 1,500 orang terbunuh dan lebih 6,900 cedera dalam keganasan terbaharu di Yaman yang meletus semula pada Ogos, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Jumlah korban sejak ketegangan yang meningkat semula beberapa bulan lepas mungkin jauh lebih tinggi kerana agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu tidak menerima angka korban daripada kawasan yang dikawal pemberontak Houthi yang disokong Iran.
Organisasi tidak berasaskan keuntungan Armed Conflict Location and Event Data Project (ACLED) yang menganalisis data daripada zon konflik, dalam tempoh yang sama telah mengira lebih 6,400 orang terbunuh sejak peningkatan semula itu termasuk pejuang dan orang awam.
Menurut ACLED, mangsa termasuk penduduk di wilayah Taiz, Marib dan Lahij, yang telah bertempur selama berminggu-minggu.
Dalam perang saudara yang dahsyat di Yaman, yang telah berlangsung selama lebih 10 tahun, adalah sukar untuk mengumpul angka korban yang boleh dipercayai.
Banyak hospital dan kemudahan kesihatan lain tidak mengira mangsa dan pihak berkuasa tidak bekerja atau hanya bekerja pada tahap yang sangat terhad.
Mangsa di kawasan terpencil atau kawasan pergunungan selalunya tidak direkodkan sama sekali.
Houthis kadangkala memberikan angka korban di kawasan mereka namun data itu tidak dapat disahkan secara bebas.
PBB menganggarkan pada 2021, sebanyak 377,000 orang maut dalam perang saudara.
Sebilangan besar mangsa di Yaman mati akibat kesan tidak langsung perang, seperti kekurangan zat makanan akut, kekurangan ubat-ubatan dan kemerosotan penjagaan kesihatan secara keseluruhan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
ACLED menganggarkan lebih 160,000 orang terbunuh disebabkan oleh kesan langsung perang, seperti pertempuran darat dan serangan udara sejak 2015 apabila Arab Saudi menyertai konflik.











Tinggalkan Balasan