Malaysia Ketengah Warisan Kulinari Di Hungary, Perkukuh Hubungan Budaya

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Malaysia mengetengahkan kekayaan warisan kulinarinya di Hungary bagi memperkukuh hubungan budaya dan mempromosikan pelancongan menerusi acara gastrodiplomasi di Budapest yang menampilkan hidangan tradisional seperti nasi beriani gam, cucur udang dan rendang tok.

Dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia di Hungary, program bertajuk “A Taste of Malaysia” itu menampilkan demonstrasi masakan secara langsung dan jamuan berkonsepkan tradisi hidang dalam majlis perkahwinan Melayu yang dikendalikan Duta Pelancongan, Seni dan Budaya bagi Gastronomi, Datuk Chef Ismail Ahmad.

Acara kulinari eksklusif yang berlangsung di Sekolah Masakan Kuktaparty di Budapest pada Rabu itu membawa cita rasa Malaysia ke Eropah Tengah, dengan kehadiran lebih 30 tetamu jemputan termasuk pegawai kerajaan Hungary, pemimpin sektor perniagaan, ahli akademik kulinari dan wakil media.

Para tetamu disajikan dengan demonstrasi penyediaan cucur udang secara langsung oleh Chef Ismail, disusuli jamuan berkonsepkan tradisi hidang dalam majlis perkahwinan Melayu yang menampilkan juadah warisan seperti ayam madu, kari dal, pecal, lepat pisang dan sira labu.

Tetamu turut menerima buku panduan resipi khas yang memuatkan hidangan yang diketengahkan pada acara itu bagi menggalakkan mereka mencuba sendiri penyediaan juadah Malaysia di rumah.

Dalam ucapan alu-aluannya, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Budapest Norafizan Mustaffa menekankan peranan makanan sebagai jambatan budaya yang berkesan dalam menghubungkan kedua-dua negara.

Beliau berkata walaupun dipisahkan oleh jarak geografi, Malaysia dan Hungary berkongsi penghargaan terhadap hidangan yang menyelerakan, layanan mesra serta penggunaan bahan masakan yang sama seperti bawang putih, bawang besar dan paprika merah.

Norafizan turut berkongsi kisah sebuah kedai makan di Perak yang diusahakan pasangan rakyat Hungary dan Malaysia, yang menyajikan roti leper goreng tradisional Hungary dikenali sebagai langos bersama sambal, ikan bilis, kacang goreng dan timun seperti nasi lemak, sebagai contoh gabungan tradisi kulinari kedua-dua negara.

“Sekiranya makanan tradisi Hungary seperti langos boleh diterima dengan baik di Malaysia, ini membuktikan kedua-dua negara berkongsi ‘bahasa’ yang sama iaitu kecintaan terhadap keenakan makanan,” katanya menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Budapest.

Beliau turut menegaskan bahawa jalinan persahabatan antarabangsa yang berkekalan sering bermula di meja makan, bukannya menerusi komunikasi rasmi semata-mata.

Norafizan turut menggalakkan rakyat Hungary melancong ke Malaysia bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik, Kementerian Hal Ehwal Luar Hungary Adrienn Sallai sebagai tetamu kehormat, Timbalan Datuk Bandar Daerah 1 Budapest Artur Fodor serta Naib Rektor Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Sains Pertanian dan Hayat Hungary (MATE) Dr Zoltan Kovacs.

Acara itu turut diserikan dengan deklamasi sajak khas oleh penulis dwibahasa, penyair dan penterjemah Malaysia Mawar Marzuki.

Mawar kini sedang menjalani program residen seni penulisan di Ljubljana, Slovenia, menerusi Program Residensi untuk Pengantara Sastera anjuran Persatuan Penulis Slovenia.