AirAsia Nasihat Penumpang Rancang Perjalanan Lebih Awal Pada Musim Puncak Akhir Tahun

SEPANG, 2 Nov — AirAsia menasihatkan penumpang yang melakukan perjalanan pada musim puncak akhir tahun merancang perjalanan lebih awal dan memperuntukkan masa perjalanan yang mencukupi berikutan peningkatan jumlah penumpang serta kemungkinan keadaan cuaca buruk.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula pada 27 Okt lepas dan dijangka berterusan hingga Mac tahun depan, berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan, khususnya antara November hingga Januari, yang berkemungkinan menyebabkan banjir serta gangguan operasi penerbangan akibat ribut petir dan cuaca buruk.

“Penumpang digalakkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya sebelum memulakan perjalanan,” menurut kenyataan itu sambil mengesyorkan mereka mengambil perhatian terhadap beberapa panduan perjalanan yang dikeluarkan.

Antaranya, penumpang dinasihatkan menyemak status penerbangan secara berkala menerusi laman sesawang rasmi AirAsia, terutama 24 jam sebelum waktu berlepas dan sekali lagi sebelum bertolak ke lapangan terbang.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu turut menasihatkan penumpang supaya tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas bagi penerbangan antarabangsa dan dua jam bagi penerbangan domestik.

“Semua penumpang, termasuk mereka yang membuat tempahan secara berkumpulan, amat digalakkan untuk melengkapkan proses daftar masuk kendiri menerusi aplikasi AirAsia MOVE atau laman sesawang airasia.com. Kemudahan daftar masuk kendiri boleh dilakukan mulai 14 hari sehingga satu jam sebelum waktu penerbangan yang dijadualkan,” menurut kenyataan itu.

AirAsia juga menasihatkan penumpang supaya memperuntukkan lebih masa bagi perjalanan ke lapangan terbang berikutan hujan lebat, banjir dan kesesakan lalu lintas yang boleh menjejaskan keadaan jalan raya serta tempoh perjalanan.

Bagi memudahkan perjalanan ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), penumpang digalakkan menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL).

Menurut kenyataan itu, penumpang boleh menggunakan kiosk di lapangan terbang untuk mencetak tag bagasi dan melengkapkan proses penyerahan bagasi kendiri, manakala perkhidmatan daftar masuk di kaunter akan dihadkan kepada penumpang yang mempunyai masalah pergerakan, mereka yang membawa bayi berusia di bawah 24 bulan, wanita hamil, warga emas serta penumpang kanak-kanak yang bersendirian.

Dalam pada itu, AirAsia mengingatkan penumpang agar memastikan alamat e-mel dan nombor telefon bimbit yang didaftarkan dalam tempahan sentiasa dikemas kini bagi membolehkan mereka menerima pemberitahuan serta maklumat penting berkaitan penerbangan.

“Penumpang yang melakukan perjalanan ke atau dari destinasi yang terjejas akibat cuaca buruk dinasihatkan supaya menyemak ramalan cuaca setempat dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan pemegang pasport Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara digalakkan memuat turun aplikasi MyNIISe atau MyBorderPass lebih awal bagi memudahkan urusan pemeriksaan imigresen di Terminal 2 KLIA.

Sekiranya berlaku gangguan penerbangan, AirAsia menasihatkan penumpang supaya menyemak e-mel masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini serta pilihan perkhidmatan kendiri yang tersedia jika ada, atau mendapatkan bantuan lanjut menerusi chatbot AirAsia, Bo.

“Penumpang yang memerlukan bantuan pergerakan boleh membuat tempahan awal perkhidmatan kerusi roda ketika membuat tempahan penerbangan atau menerusi bahagian My Bookings dalam aplikasi AirAsia MOVE, sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu berlepas,” menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu turut mengingatkan penumpang bahawa had bagasi kabin adalah satu beg berukuran tidak melebihi 56 x 36 x 23 sentimeter dan satu beg komputer riba atau beg tangan atau beg kecil, dengan jumlah berat kedua-dua barangan tidak melebihi tujuh kilogram.

Bagi penumpang wanita hamil, mereka dikehendaki melengkapkan borang di kaunter sebelum menaiki pesawat, manakala mereka yang hamil melebihi 27 minggu perlu mengemukakan sijil perubatan yang diluluskan oleh doktor.

Menurut AirAsia, pihaknya akan terus memantau keadaan operasi dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan kepada penumpang yang terjejas menerusi butiran perhubungan yang diberikan semasa membuat tempahan.