OPEC+ Kekalkan Tahap Pengeluaran Minyak Bagi Bulan Ketiga Berturut-Turut Pada Dis

VIENNA, 2 Nov — Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, yang dikenali sebagai OPEC+ akan mengekalkan tahap pengeluaran minyak pada Disember bagi bulan ketiga berturut-turut, menurut kenyataan OPEC pada Ahad, lapor Xinhua.

Keputusan itu diumumkan oleh tujuh negara anggota OPEC+ iaitu Arab Saudi, Rusia, Iraq, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman, selepas mengadakan mesyuarat secara maya bagi menilai keadaan serta prospek pasaran minyak global.

“Tujuh negara yang mengambil bahagian memutuskan untuk mengekalkan tahap pengeluaran yang ditetapkan pada September 2026 bagi Disember 2026,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan persetujuan berkenaan, ketujuh-tujuh negara akan mengekalkan jumlah pengeluaran yang ditetapkan pada kira-kira 31.01 juta tong sehari pada Disember.

Arab Saudi akan mengekalkan tahap pengeluaran yang ditetapkan sebanyak 10.48 juta tong sehari (bpd), diikuti Rusia dengan 9.95 juta tong sehari dan Iraq sebanyak 4.43 juta tong sehari.

Sebelum ini, negara terbabit meningkatkan pengeluaran minyak setiap bulan dari April hingga September tahun ini, sebelum menghentikan sementara peningkatan itu pada Oktober dan mengekalkan tahap pengeluaran pada November.

OPEC memaklumkan bahawa ketujuh-tujuh negara akan mengadakan mesyuarat seterusnya pada 29 Nov bagi menilai semula keadaan pasaran.