Hafidz Othman Dilantik Komisioner Jeneral Penjara Baharu

PUTRAJAYA, 3 Nov — Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Kemasyarakatan) Hafidz Othman dilantik sebagai Komisioner Jeneral Penjara yang baharu berkuat kuasa Khamis ini.

Jabatan Penjara Malaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan watikah pelantikan Hafidz disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Razak yang memegang jawatan itu sejak 14 Feb 2025.

Hafidz, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penjara dengan jawatan Timbalan Penguasa di Penjara Miri, Sarawak.

Menurut kenyataan itu, Hafidz pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengarah Penjara Seremban, Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa dan Pemindahan Banduan serta Pengarah Bahagian Korektif sepanjang 32 tahun berkhidmat.

Selain itu, Hafidz turut menyandang jawatan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) pada 2025.

Jabatan Penjara berharap pelantikan Hafidz dapat memperkasakan dan memperkukuh perkhidmatan korektif jabatan itu menerusi pengalaman, kemahiran serta kepimpinan beliau, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.