KANGAR, 3 Nov — Perpustakaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi perpustakaan universiti awam pertama di negara ini yang menawarkan platform LeapSpace sekali gus menyediakan akses kepada lebih 100 juta rekod saintifik bagi memperkasakan penyelidikan dan penerbitan ilmiah.
LeapSpace ialah platform ruang kerja penyelidikan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk membantu penuntut, pensyarah, penyelidik dan golongan akademik mencari, menganalisis serta memahami maklumat daripada sumber ilmiah dengan lebih pantas.
Naib Canselor UniMAP Datuk Profesor Dr Zaliman Sauli berkata penawaran platform itu langkah strategik universiti dalam memperkukuh kemudahan penyelidikan selain membantu warga akademik dalam pencarian maklumat, analisis penyelidikan serta penerokaan peluang dana dan penulisan ilmiah.
Beliau berkata pencapaian itu antara keistimewaan Perpustakaan Sains Sosial dan Kemanusiaan (PSSK) yang dirasmikan Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kampus UniCITI Alam, Padang Besar semalam.
“Dalam era perkembangan teknologi AI, kita mahu warga universiti memanfaatkan kemudahan ini secara beretika dengan sentiasa mengutamakan ketepatan sumber, kesahihan maklumat dan integriti akademik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaliman berkata pembangunan PSSK di Kampus UniCITI Alam juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, khususnya Lonjakan 1 yang berkaitan pembelajaran berpaksikan kemanusiaan, Lonjakan 8 mengenai pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat serta Lonjakan 10 yang menekankan penyampaian responsif dan dinamik.
“PSSK dibangunkan berasaskan tiga zon utama, iaitu Hab Digital, Hab Pembelajaran dan Hab Komuniti yang setiap satu memainkan peranan dalam menyokong ekosistem pembelajaran, penyelidikan dan perkongsian ilmu,” katanya.
Beliau berkata menerusi Hab Digital, warga UniMAP boleh mengakses pelbagai sumber elektronik termasuk buku teks digital, lebih 2.5 juta judul e-buku serta jutaan teks penuh artikel jurnal dan kertas persidangan tanpa batasan lokasi kampus.
Zaliman berkata kemudahan itu turut dilengkapi Repositori UniMAP yang menyimpan hampir 100,000 objek digital merangkumi bahan rujukan akademik serta rekod sejarah universiti dan Perlis manakala Hab Pembelajaran menyediakan ruang pembelajaran kendiri dan kolaboratif termasuk pod pembelajaran dalam talian.
“Hab Komuniti pula berperanan sebagai platform perkongsian kepakaran antara warga universiti, masyarakat dan industri bagi membuka peluang kerjasama penyelidikan, pemindahan ilmu serta pembelajaran sepanjang hayat, selaras dengan konsep Library as Third Place yang menjadikan perpustakaan sebagai ruang sosial dan intelektual,” katanya.
Zaliman berkata kemudahan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong aspirasi UniMAP 2030 dalam melahirkan graduan berilmu, berkemahiran teknikal, mempunyai akhlak dan kemahiran insaniah serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
“Perpustakaan perlu menjadi ruang yang dekat di hati penuntut. Saya mahu mereka selesa datang ke sini untuk membaca, menyiapkan tugasan, berbincang dengan rakan dan meneroka idea baharu. Ilmu yang diperoleh bukan sekadar untuk kejayaan akademik, tetapi perlu diterjemahkan kepada manfaat masyarakat,” katanya.














Tinggalkan Balasan