Perkukuh GEA Jadi Platform Antarabangsa Iktiraf Kecemerlangan – Zambry

IPOH, 5 Nov — Global Educator Award (GEA) bukan sekadar menjadi majlis pengiktirafan pencapaian individu, tetapi perlu diperkukuh sebagai platform antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan pendidikan, mempromosi inovasi dan memperkukuh kerjasama pendidikan rentas sempadan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pendidik merupakan barisan hadapan dalam membentuk ilmu, nilai dan kemanusiaan, selain memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik atau kedudukan sesebuah institusi dalam penarafan antarabangsa, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan impak sebenar pendidik terhadap kehidupan masyarakat.

“Justeru GEA yang memasuki tahun kedua penganjurannya, diharap dapat berkembang sebagai platform global yang dihormati dengan memastikan pengiktirafan diberikan berdasarkan integriti, kredibiliti dan impak sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjong Malim, malam tadi. 

Berangkat ke program itu Canselor UPSI Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata penganjuran GEA 2026, mencerminkan aspirasi universiti untuk memperluas pengaruh dan kepimpinan dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata penganjuran edisi kali ini, menerima 472 pencalonan dari 83 negara, sebelum 26 finalis dari 11 negara dipilih menerusi proses penilaian yang teliti.

“Melalui GEA, kita bukan sahaja mahu mengiktiraf pendidik cemerlang yang telah membawa perubahan kepada individu, komuniti dan negara, tetapi turut membina jaringan pendidik global untuk berkongsi idea, mencetuskan inovasi serta memajukan kecemerlangan pendidikan merentas sempadan,” katanya.

Pada majlis itu,  tujuh individu dan sebuah institusi menerima pengiktirafan menerusi lapan kategori anugerah.

Penerima Avant-Garde Teacher Award ialah Prof Madya Dr Jayanthi Arasan (Malaysia), Eminent Education Researcher Award disandang Dr Mahdi Kolahi (Iran), Community Outreach Award diterima Peter Mokaya Tabichi (Kenya), manakala Esteemed Teacher Educator Award diberikan kepada Prof Madya Dr Evania Yafie (Indonesia).

Sementara itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima Transforming Educational Institution Award, manakala The HONOR EdTech Innovation Excellence Award dianugerahkan kepada Siti Ainulmursyida Shamsudin (Malaysia), manakala Inspiring Educational Leader Award pula dimenangi Kashmira Jaiswal (India) dan The Legacy Educator Award diterima Chan Hung (Hong Kong).

Penerima kategori Avant-Garde Teacher Award, Eminent Education Researcher Award, Community Outreach Award, Esteemed Teacher Educator Award, Transforming Educational Institution Award dan Inspiring Educational Leader Award masing-masing menerima trofi serta geran penyelidikan bernilai RM20,317, manakala penerima The Legacy Educator Award membawa pulang trofi serta geran penyelidikan bernilai RM40,634.