KUALA LUMPUR, 4 Nov — Taktik sindiket memanipulasi penggunaan setem cukai bagi minuman keras berjenama mewah terbongkar susulan rampasan 370 botol minuman itu bernilai RM702,566 menerusi Ops Taring Alpha 2 di Lembah Klang, semalam.
Operasi itu dijalankan pada 11.40 pagi oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata operasi itu dilaksanakan serentak di dua premis iaitu sebuah gudang di Selangor dan premis perniagaan di ibu negara.
“Pemeriksaan di premis pertama menemukan minuman keras berjenama mewah disyaki menggunakan setem cukai atau pelekat kastam berkadar rendah berbanding kadar sepatutnya dikenakan ke atas produk berkenaan.
“Modus operandi tersebut dipercayai membabitkan kegiatan pelencongan setem cukai bagi mengelakkan pembayaran duti eksais, sekali gus berpotensi menyebabkan ketirisan hasil pendapatan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Zaki berkata pemeriksaan di premis kedua mendapati semua botol minuman keras mempunyai setem cukai yang lengkap dan tiada sebarang kesalahan dikesan.
Beliau berkata empat individu termasuk tiga warga Bangladesh ditahan dalam operasi itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala JKDM menjalankan siasatan berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(c) Akta Kastam 1967.














Tinggalkan Balasan