Sekolah Rendah Perlis Dipilih Sertai Program Bridge ASEAN-Australia

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Budriah di Perlis dipilih menyertai Program Perkongsian Sekolah Membina Hubungan Melalui Dialog Antara Budaya dan Penglibatan Yang Berkembang (BRIDGE) ASEAN-Australia bagi sesi 2026-2027, yang bertujuan memperkukuh kerjasama pendidikan dan persefahaman silang budaya antara Malaysia dan Australia.

Sekolah berkenaan akan dipadankan dengan Port Lincoln Primary School di Australia Selatan. Program itu telah menyokong 30 sekolah di Malaysia sejak 2015.

Program BRIDGE menghubungkan sekolah-sekolah di Australia dan Asia Tenggara, membolehkan murid serta warga pendidik memperkukuh persefahaman silang budaya menerusi projek bersama, pertukaran secara maya serta lawatan timbal balik dalam kalangan guru.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke berkata perkongsian itu akan meletakkan asas bagi hubungan pendidikan yang berkekalan antara kedua-dua negara.

“Babak baharu pembelajaran antarabangsa, pertukaran budaya dan persahabatan menanti murid serta guru di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Budriah. Saya telah melihat sendiri peluang pembelajaran berharga yang dicipta menerusi program ini untuk kedua-dua murid dan guru,” katanya menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur.

Heinecke turut memetik pengalaman Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Ketam di Selangor, yang dipadankan dengan Adelaide High School di Australia Selatan di bawah program sesi 2025-26, sebagai contoh faedah pertukaran silang budaya berkenaan.

Beliau berkata murid-murid berjaya membina persahabatan dengan rakan sebaya dari Australia dan memperoleh perspektif baharu, manakala guru yang mengambil bahagian kembali dengan membawa ilmu pengetahuan serta kemahiran yang memberi manfaat kepada komuniti sekolah mereka.

Sementara itu, Ketua Pusat ASEAN-Australia Fiona Hoggart berkata program berkenaan merupakan pelaburan demi masa depan bersama rantau ini dengan membimbing generasi muda dan memperkukuh hubungan antara rakyat.

“BRIDGE melabur untuk anak muda kita, pemimpin masa depan kita. Ia membina keupayaan dan jalinan yang dibina murid-murid akan memperkasa mereka untuk bekerjasama mencari penyelesaian kepada cabaran bersama,” katanya.

Ditubuhkan pada 2008, program BRIDGE telah melibatkan lebih 1,200 sekolah di seluruh Indo-Pasifik, mempromosikan persefahaman antara budaya melalui perkongsian pendidikan.

Program ini dikendalikan oleh Pusat ASEAN-Australia dengan kerjasama Asialink.

Di bawah perkongsian sesi 2025-26, SMK Pulau Ketam dan Adelaide High School bekerjasama dalam inisiatif termasuk penceritaan kisah Orang Asli  serta projek sahabat pena digital menggunakan aplikasi Canva, membolehkan murid meneroka budaya, identiti dan kreativiti di samping mengeratkan hubungan persahabatan rentas sempadan.