Loke Mahu JPJ, MIROS Terus Perkasa Keselamatan Jalan Raya

PUTRAJAYA, 11 Nov — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) perlu terus mempergiat usaha memperkukuh keselamatan termasuk membanteras kesalahan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya, kata bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata JPJ perlu meneruskan penguatkuasaan tegas terhadap kenderaan lebih muatan, selain membanteras kesalahan lumba haram dan pelanggaran had laju meskipun berlaku perubahan kepimpinan di Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Usaha memerangi kenderaan lebih muatan bukan agenda individu atau menteri, sebaliknya satu misi nasional yang perlu diteruskan kerana membabitkan keselamatan dan nyawa manusia.

“Saya nak JPJ buktikan bahawa mereka ini salah. Perang terhadap lebih muatan ini, dengan atau tanpa saya, akan diteruskan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Terdahulu, Loke tiba di pekarangan lobi MOT pada 10.04 pagi bagi menghadiri majlis perhimpunan berkenaan buat kali terakhir selepas peletakan jawatannya yang berkuasa kuasa semalam.

Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, yang berkuat kuasa serta-merta.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata pindaan undang-undang berkaitan kesalahan berkenaan telah dilaksanakan dan kuasa penguatkuasaan diberikan kepada pegawai JPJ, justeru tiada alasan untuk tidak mengambil tindakan tegas.

Dalam pada itu, Loke berharap MIROS terus menyumbang kepakaran dan penyelidikan bagi membantu kementerian memperkukuh langkah keselamatan jalan raya.

Beliau berkata tragedi kemalangan bas yang mengorbankan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta insiden kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sebelum ini memberi kesan psikologi mendalam kepadanya.

Loke berkata kedua-dua tragedi yang berlaku dalam tempoh singkat itu mendorong kementerian mempergiat usaha melaksanakan perubahan dasar, memperkenalkan inisiatif baharu dan menambah baik langkah keselamatan jalan raya.

“Isu keselamatan jalan raya ini jangan lihat sebagai satu isu menteri ataupun isu politik. Ini isu nyawa manusia,” katanya yang turut berharap agenda keselamatan jalan raya terus menjadi keutamaan kementerian pada masa hadapan tanpa mengira siapa yang menerajui portfolio berkenaan.