Minggu Kerjasama Rakan Media ASEAN 2026 melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutup yang berlangsung di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, pada Selasa.
Majlis tersebut diadakan di Biro Guangxi, Kumpulan Media China (CMG), dan dihadiri Timbalan Ketua Biro Guangxi CMG, Xu Yun.
Majlis penutup itu turut menyaksikan penganjuran Sesi Meja Bulat Rakan Media ASEAN yang menghimpunkan pengamal media dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar dan Timor Leste.
Sesi tersebut menjadi platform perkongsian pengalaman dan pandangan berhubung kerjasama media serantau, khususnya mengenai impak Terusan Pinglu terhadap pertumbuhan serantau, kerjasama China-ASEAN dalam inovasi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kerjasama media China- ASEAN.
Wartawan Astro AWANI, Muhammad Khalis Khadir dalam ucapannya berkata, perbezaan bahasa, sejarah dan perspektif antara negara tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh persefahaman.
“Sebaliknya, saya ingin memetik satu falsafah lama China, yang membawa maksud kita tidak perlu mempunyai pandangan atau identiti yang sama untuk hidup bekerjasama secara harmoni. Perbezaan itulah yang boleh saling melengkapi,” ujarnya.
Minggu Kerjasama Rakan Media ASEAN 2026 dianjurkan bersama CMG dan kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi.













Tinggalkan Balasan