Parti Republikan Sekat Usaha Pecat Setiausaha Pertahanan AS Hegseth

WASHINGTON, 11 Nov — Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menolak resolusi untuk mendakwa Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth bagi tujuan pemecatan, sekali gus menggagalkan usaha menyingkirkan ketua Pentagon itu berhubung tindakannya sepanjang memegang jawatan serta cara beliau mengendalikan perang di Iran, lapor Associated Press (AP).

Pengundian itu berlangsung ketika Parti Republikan berdepan kesan kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal, yang menurut sesetengah anggota parti berpunca daripada perang di Iran dan lonjakan harga petrol susulan konflik berkenaan.

Bagaimanapun, selepas Presiden Donald Trump menyatakan sokongan padu terhadap Hegseth, kebanyakan anggota Parti Republikan di Dewan Perwakilan tetap mempertahankannya dan menolak usaha pemecatan yang diketuai anggota parti itu dari Kentucky, Thomas Massie, dengan sokongan Parti Demokrat.

Keputusan pengundian itu mungkin hanya menangguhkan usaha untuk mendakwa Hegseth bagi tujuan pemecatan memandangkan Parti Demokrat dijadual mengambil alih kawalan Dewan Perwakilan dan Senat pada Januari.

Ketua Parti Demokrat di Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries menyokong penuh usaha berkenaan dengan mendakwa Hegseth telah “menyalahgunakan kuasanya” dan “menjejaskan keselamatan negara AS”.

Ketua Parti Demokrat di Senat, Chuck Schumer, turut menyokong usaha pemecatan Hegseth.

Dalam sidang media pertamanya selepas beberapa bulan pada Selasa, Hegseth mengecam usaha itu dengan menyifatkan Massie sebagai anggota Kongres yang bertindak bersendirian serta menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan berat seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan AS sebagai asas pemecatannya.

Beliau menyifatkan usaha itu sebagai tindakan yang mempertikaikan anggota tentera AS dan kejayaan mereka, selain mendakwa ia menjejaskan operasi pasukan tentera negara berkenaan ketika ini.

“Ini bukan patriotisme. Ini sabotaj,” kata Hegseth.

Resolusi yang dikemukakan Massie mengandungi lapan pertuduhan bagi tujuan pemecatan, dengan tumpuan utama terhadap perang di Iran, selain turut menyentuh peranan Hegseth dalam pelaksanaan operasi ketenteraan di Yaman dan Venezuela.