GEORGE TOWN, 12 Nov — Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyifatkan peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook selaku Menteri Pengangkutan sebagai satu keputusan sukar yang mencerminkan pendirian beliau untuk tidak mengutamakan kepentingan diri.
Chow berkata keputusan Setiausaha Agung DAP itu dibuat susulan perkara yang telah diketahui umum.
“Saya melihat peletakan jawatan Anthony Loke sebagai satu keputusan yang menyakitkan hati kita kerana sebab beliau meletakkan jawatan adalah dalam pengetahuan umum,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBA Holdings Bhd (PBAHB) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada peletakan jawatan Loke adalah satu kerugian kepada Kerajaan MADANI, memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan Ahli Parlimen Seremban itu sebagai seorang yang rajin dan komited dalam melaksanakan tugas.
Chow yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkata peletakan jawatan Loke juga telah mendapat restu CEC.
Pada 19 Sept, Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mesyuarat CEC.
Pada Selasa lepas, Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.













Tinggalkan Balasan