Dialog Politik China-Amerika Syarikat (AS) 2026 diadakan di sini pada Khamis, dengan tema “Hubungan China-AS pada Era Baharu: Teroka Pendekatan Lebih Baik di Tengah-tengah Perubahan Asia-Pasifik dan Dunia.”
Dialog yang dianjurkan Jabatan Perhubungan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) itu disertai perwakilan dalam kalangan politik, strategi, perindustrian dan perniagaan AS, serta wakil dari jabatan kerajaan, kumpulan pemikir, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan rakyat di China.
Ketua Jabatan Perhubungan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat PKC, Liu Haixing menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah mengadakan pertukaran yang ikhlas, mendalam dan konstruktif.
Beliau mengatakan, hubungan yang stabil, sihat dan mampan antara China dan AS bukan sahaja sesuai dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara, malah juga merupakan jaminan penting bagi kedamaian dan kemakmuran di rantau Asia-Pasifik bahkan dunia.
Beliau menyeru kedua-dua pihak untuk menjunjung prinsip saling menghormati, wujud bersama secara damai dan kerjasama sama menang, selain bersama-sama mencari pendekatan lebih baik untuk dua kuasa besar di dunia untuk menguruskan hubungan pada era baharu.
Wakil dari AS pula mengatakan bahawa hubungan antara AS dan China kian stabil dan seimbang dan ini bermanfaat bagi pencapaian matlamat pembangunan masing-masing dan penyelesaian masalah tadbir urus antarabangsa.
Pada masa sama, menurut wakil AS, kedua-dua pihak perlu meningkatkan komunikasi dan dialog, supaya mewujudkan pembangunan bersama melalui persaingan sihat dan kerjasama sama menang.
Untuk rekod, Dialog Politik China-AS yang ditubuhkan pada tahun 2010 merupakan saluran komunikasi peringkat tinggi antara parti politik kedua-dua negara.











Tinggalkan Balasan