SHAH ALAM, 13 Nov — Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan 5,000 anak negeri berkenaan yang bekerja sebagai penunggang p-panggilan berdaftar menerima Baucar Kita Selangor Gig bernilai RM1,200 setahun bagi meringankan beban kewangan mereka.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu mengambil kira peranan penting penunggang p-panggilan dalam sektor logistik dan cabaran pekerjaan yang didepani golongan berkenaan.
“Walaupun hasrat awal industri gig pada asalnya menyediakan peluang pekerjaan sementara namun masih ramai penunggang p-panggilan berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap.
“Baucar itu turut disertakan dengan latihan berkaitan teknologi dan peluang menceburi industri baharu menerusi modul latihan ekspres,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata program latihan itu akan dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dengan peruntukan RM10 juta termasuk kos latihan.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri dengan kerjasama STDC memperuntukkan RM12 juta bagi menyediakan akses percuma Gemini Enterprise selama setahun kepada 50,000 rakyat termasuk latihan dalam talian dan secara bersemuka.
“Kerajaan negeri akan meneruskan hasrat supaya rakyat Selangor dapat menikmati manfaat produktiviti yang boleh dijana menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Latihan ini akan memberikan kemahiran kepada rakyat Selangor daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar, mahasiswa, usahawan, petani, pengusaha syarikat pemula dan warga emas untuk membangunkan sistem Agentic AI bagi meningkatkan produktiviti serta memudahkan urusan harian,” katanya.











Tinggalkan Balasan