Universiti Dan Industri Satu Ekosistem Lahirkan Tenaga Mahir Untuk Ekonomi Masa Hadapan

ARAU, 16 Nov — Universiti perlu bergerak melangkaui peranan melahirkan graduan bersedia untuk industri kepada membangunkan ekosistem pendidikan dan inovasi berintegrasi dengan industri.

Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Dr Muzammil Jusoh berkata kekuatan sebenar sesebuah universiti teknikal, bukan hanya terletak kepada jumlah graduan dilahirkan, tetapi sejauh mana universiti itu mampu menjadi rakan strategik yang menyumbang pembangunan bakat, penyelesaian teknologi dan peningkatan daya saing industri negara.

Beliau berkata universiti dan industri tidak boleh lagi bergerak secara berasingan, sebaliknya kedua-duanya perlu berkembang sebagai satu ekosistem saling melengkapi.

“Matlamat kita bukan sekadar memenuhi keperluan tenaga kerja industri hari ini, tetapi melahirkan bakat yang mampu menguasai, membangunkan dan memacu teknologi industri masa hadapan,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-21.

Sebanyak 3,776 graduan UniMAP akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada tujuh sidang istiadat konvokesyen universiti itu yang berlangsung selama empat hari di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra di sini, bermula Sabtu lepas.

Muzammil berkata pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional dalam konteks perkembangan pesat sektor semikonduktor, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata sebaliknya, universiti perlu bergerak ke arah Advanced TVET yang mengintegrasikan pengetahuan akademik, kemahiran teknikal, teknologi terkini dan pengalaman industri secara langsung.

“Universiti perlu beralih daripada pendekatan konvensional kepada kurikulum berasaskan keperluan industri dan teknologi masa hadapan. Cabaran utama ketika ini ialah kepantasan perubahan teknologi yang sering mendahului perkembangan kurikulum dan kompetensi tenaga kerja,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Muzammil berkata penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum, pemetaan kompetensi serta pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) perlu diperkukuh secara berterusan, dengan pada sama kompetensi tenaga pengajar dan kemudahan pembelajaran juga perlu sentiasa ditekankan.

Beliau berkata universiti, perlu memperluas pendedahan industri pada peringkat antarabangsa bagi membangunkan bakat TVET yang berdaya saing secara global.

“UniMAP sentiasa komited meningkatkan bilangan pelajar yang menjalani latihan industri di luar negara, khususnya bersama dengan syarikat multinasional (MNC). Melalui kerjasama strategik dengan TalentCorp, UniMAP secara konsisten menghantar pelajar menjalani latihan industri ke negara seperti Türkiye, Taiwan, Jepun, China, Thailand dan Vietnam.

“Pengalaman ini penting bagi membolehkan graduan menguasai teknologi termaju, memahami piawaian antarabangsa dan menyesuaikan diri dengan budaya kerja global,” katanya.

Sementara itu, Muzammil berkata universiti perlu memperkukuh ekosistem inovasi, penyelidikan gunaan dan pemindahan teknologi bersama dengan industri, bagi melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja mahir mengendalikan teknologi malah berupaya menguasai teknologi baharu, menghasilkan penyelesaian inovatif, meningkatkan produktiviti serta mencipta nilai tambah kepada industri.

“Kejayaan universiti tidak seharusnya diukur melalui kebolehpasaran graduan semata-mata, tetapi juga melalui keupayaan mereka memacu inovasi, menerajui industri bernilai tinggi dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Muzammil berkata program akademik yang ditawarkan UniMAP dirangka secara strategik bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi, kompeten dan memenuhi keperluan bakat negara khususnya dalam menyokong pembangunan sektor industri berteknologi tinggi serta pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata seiring aspirasi itu, UniMAP sentiasa komited untuk memperkukuh pendedahan awal pelajar kepada ekosistem industri, sekali gus memperluas peluang mereka memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi dengan tawaran gaji premium, selaras aspirasi pembangunan bakat negara dan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

“Kekuatan UniMAP turut diperkukuh melalui jaringan kerjasama strategik yang erat bersama dengan agensi pembangunan wilayah seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), syarikat berasaskan teknologi serta syarikat multinasional.

“Sebagai contoh, kerjasama antara UniMAP, NCER, Kementerian Ekonomi dan pemain industri telah membolehkan pembangunan kursus elektif dalam kurikulum sedia ada yang berteraskan teknologi tinggi, disokong oleh modul pembelajaran berorientasikan industri serta kemudahan dan peralatan terkini,” katanya.