ABU DHABI, 15 Nov — Malaysia, India, China dan Rusia berkongsi kedudukan pendahulu dalam kejohanan Piala Catur Negara-Negara Asia di Abu Dhabi dengan masing-masing mengumpul lapan mata selepas lima pusingan, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Pada pusingan kelima, Rusia seri 2-2 dengan Kazakhstan, India menewaskan Mongolia 3.5-0.5, China mengatasi Lubnan 4-0, Uzbekistan menewaskan Sri Lanka 3.5-0.5, manakala Malaysia menang tipis 2.5-1.5 ke atas Syria.
Pasukan UAE B menewaskan Oman 3.5-0.5, Palestin mengatasi Bahrain 2.5-1.5, manakala UAE C menewaskan Pakistan 3-1.
Dalam pusingan ketiga kategori wanita, Rusia menewaskan Kazakhstan 2.5-1.5, China mengatasi India 3-1, Uzbekistan menewaskan Mongolia 4-0, Sri Lanka mengatasi UAE A 3-1, New Zealand menewaskan UAE B 2.5-1.5, manakala UAE C mengatasi Pakistan 2.5-1.5.
Rusia mendahului kedudukan kategori wanita dengan enam mata, diikuti Uzbekistan, China, Kazakhstan, Sri Lanka dan New Zealand yang berkongsi tempat kedua dengan masing-masing mengumpul empat mata.
Kejohanan itu diadakan di bawah naungan Sheikh Nahyan bin Zayed Al Nahyan, Pengerusi Zayed for Good Foundation merangkap Pengerusi Majlis Sukan Abu Dhabi.
Ia dianjurkan oleh Kelab Catur dan Permainan Minda Abu Dhabi di bawah seliaan Persekutuan Catur Asia, dengan kerjasama Persekutuan Catur UAE.









Tinggalkan Balasan