KUALA LUMPUR, 16 Nov — Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam saringan pemeriksaan mata bagi penghidap diabetes berupaya membantu Malaysia menjimatkan antara RM10 juta hingga RM20 juta, melalui pengesanan awal penyakit tersebut serta pencegahan kebutaan yang selaras dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030).
MyDIGITAL Corporation menerusi satu kenyataan memaklumkan pemodelan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa pencegahan 67 kes kebutaan melalui saringan pemeriksaan dengan menggunakan teknologi AI akan menangani kos kamera, perisian AI, dan masa kakitangan yang diperlukan untuk mengendalikan program saringan tersebut.
“Ini dimodelkan menggunakan anggaran peralihan Markov, namun ia menunjukkan potensi nilai pengesanan lebih awal dalam mengurangkan kos rawatan susulan serta mengekalkan produktiviti tenaga kerja,” maklumnya dalam kenyataan tersebut.
Kementerian Kesihatan juga sedang memperluas pelaksanaan penjagaan kesihatan menggunakan teknologi AI bagi menyokong pengesanan penyakit lebih awal, dengan 902 klinik kesihatan di seluruh negara disasarkan untuk menyediakan pemeriksaan penyakit paru-paru menggunakan teknologi AI menjelang akhir 2026.
Menurut MyDIGITAL Corporation, dashboard Daftar Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan (NALURY) 2026 mencatatkan 10,066 saringan kesihatan dan 6,661 imbasan sinar-X dada, termasuk 3,053 yang dianalisis menggunakan teknologi AI.
“Ia merekodkan 1,812 keabnormalan yang dikesan, termasuk 1,429 yang dikenal pasti melalui analisis AI. Angka ini menunjukkan bagaimana saringan kesihatan menggunakan teknologi AI diterapkan ke dalam proses yang lebih luas meliputi pengesanan, pengecaman risiko, dan rujukan, bukan sekadar berfungsi sebagai alat analisis imej kendiri,” maklumnya.
Penggunaan AI turut diperluas ke bidang penjagaan kesihatan yang lain, termasuk diagnosis kanser payudara, rawatan radioterapi, serta usaha untuk mengurangkan beban kerja pentadbiran doktor.
Di Subang Jaya Medical Centre, satu penyelesaian patologi berkomputer menggunakan teknologi AI telah diperkenalkan untuk menyokong ujian kanser payudara Human Epidermal Growth Factor Receptor 2 (HER2), bagi membantu ahli patologi menilai tahap ekspresi HER2 dalam sampel tisu.
Satu kajian berbilang negara yang melibatkan lebih daripada 1,000 kes kanser payudara di 12 pusat akademi mendapati bantuan AI meningkatkan tahap persetujuan antara ahli patologi daripada 64 peratus kepada 80 peratus, serta mengurangkan masa yang diperlukan untuk meneliti setiap kes sebanyak 36 peratus.
Sementara itu, Pantai Hospital Kuala Lumpur memperkenalkan Varian Ethos dengan HyperSight pada Jun 2026, satu sistem radioterapi adaptif berpandukan imej dikuasakan AI, yang membolehkan ahli perubatan melaraskan pelan rawatan berdasarkan anatomi pesakit pada hari rawatan dijalankan.
MyDIGITAL Corporation menyatakan penggunaan AI ini menunjukkan bagaimana penjagaan kesihatan digital boleh menyumbang bukan sahaja melalui teknologi dan perkhidmatan baharu, malah dengan menyokong produktiviti, meluaskan akses kepada penjagaan, serta berpotensi mengurangkan kos penjagaan kesihatan.
Ken Research menilai pasaran kesihatan digital dan teleperubatan Malaysia bernilai US$1.25 bilion pada 2025 dan mengunjurkan nilai ini mencecah US$2.77 bilion menjelang 2031, mencerminkan pertumbuhan tahunan sebanyak 14.2 peratus.
Di bawah MD2030, Malaysia menyasarkan sumbangan ekonomi digital sebanyak 30 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030, berbanding 25.5 peratus pada 2025.
MyDIGITAL Corporation menyokong agenda transformasi digital kerajaan yang lebih luas dengan melibat urus bersama dengan pemegang kepentingan dasar, kerajaan, industri, dan ekosistem.
Menerusi MD2030, peluasan penggunaan digital merentasi pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan penting untuk memastikan transformasi digital Malaysia bukan sahaja menyumbang kepada aspirasi untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital terhadap KDNK, malah turut mewujudkan perkhidmatan penting lebih kukuh serta membawa hasil yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.














Tinggalkan Balasan