Malaysia Sokong Pembangunan Pelan Hala Tuju Iklim D-8 2027-2030

KUALA LUMPUR 17 Nov — Malaysia menyokong pembangunan Pelan Hala Tuju Iklim dan Alam Sekitar D-8 bagi 2027 hingga 2030 sebagai langkah memperkukuh kerjasama antara negara anggota dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pelan itu menyediakan pendekatan berstruktur bagi memperluas kerjasama dalam bidang keutamaan termasuk adaptasi dan daya tahan iklim, peralihan tenaga bersih, pembiayaan iklim, pemindahan teknologi selain pemuliharaan biodiversiti serta pemulihan ekosistem.

“Malaysia mengalu-alukan cadangan pembangunan pelan ini… Malaysia melihat potensi besar D-8 untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam penyelesaian iklim dan alam sekitar yang saksama, praktikal dan mampan.

“Malaysia juga berharap dapat terlibat secara aktif melalui Kumpulan Kerja Teknikal dan Platform Kerjasama bagi mengenal pasti peluang perkongsian pengetahuan, kerjasama teknikal serta inisiatif bersama yang memberikan manfaat praktikal kepada negara anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sesi Peringkat Menteri D-8 mengenai Tindakan Iklim sempena Persidangan Pihak-Pihak ke-31 (COP31) di Antalya, Turkiye hari ini.

Arthur berkata Malaysia turut menyambut baik penubuhan Platform Kerjasama Alam Sekitar dan Iklim D-8 bagi memudah cara dialog dasar, kerjasama teknikal serta pertukaran maklumat selain memperkukuh Kerjasama Selatan-Selatan dan mengenal pasti peluang pelaksanaan inisiatif bersama.

“Kerjasama kita mestilah kekal inklusif, responsif terhadap keadaan negara masing-masing dan menyokong aspirasi pembangunan semua negara anggota D-8,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan penerimaan pemakaian Rangka Kerja Tindakan Peringkat Menteri Antalya mengenai Kerjasama Iklim dan Alam Sekitar D-8 selain menggesa negara maju menunaikan komitmen pembiayaan iklim bagi membantu negara membangun melaksanakan tindakan iklim.

Arthur berkata pencapaian aspirasi iklim Malaysia bukan sahaja memerlukan komitmen domestik yang kukuh malah persekitaran antarabangsa yang kondusif, dan menegaskan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050 menerusi peralihan tenaga, pembangunan industri rendah karbon serta pemerkasaan dasar iklim negara.

Seiring dengan usaha itu, Malaysia menyasarkan pengurangan mutlak pelepasan gas rumah kaca antara 15 juta hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035 berbanding tahun pelepasan puncak.

D-8, atau Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun, adalah organisasi kerjasama ekonomi yang bertujuan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, teknologi, pertanian, tenaga, alam sekitar dan perubahan iklim.