Loke Masih Bercuti, Peletakan Jawatan Menteri Pengangkutan Belum Diterima – Anwar

PUTRAJAYA, 25 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan Anthony Loke masih dalam tempoh bercuti ketika ini, dengan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan belum diterima.

“Saya belum terima peletakan jawatan (Loke), dia masih bercuti. (Saya ada) jumpa (Loke), dia bagi alasan (peletakan jawatan) (seperti) yang kita tahu dan saya beritahu (dia) cuti dulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI TEMU AI” di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai status Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban sebagai Menteri Pengangkutan di bawah Kerajaan MADANI.

Mengenai penugasan di Kementerian Pengangkutan (MOT), Anwar berkata kementerian memiliki Timbalan Menteri serta Ketua Setiausaha (KSU) selain pengurusan tertinggi untuk menjalankan tugas sedia ada.

“Tugas sekarang ni kalau ikut peraturannya memang KSU ada, Timbalan Menteri ada tetapi memang Perdana Menteri tampung (pantau juga) sekejap (tugasan di MOT),” katanya. 

Pada 10 Nov, Loke mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah bermula pada hari berkenaan.

Bagaimanapun, Loke dan Ahli Parlimen DAP lain kekal menyokong kepimpinan Perdana Menteri.