Turkiye Belum Bersedia Terima 10,000 Pelarian Rohingya Dari Malaysia – Anwar

KUALA LUMPUR, 24 Nov — Kerajaan Turkiye belum bersedia mempertimbangkan penerimaan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan Turkiye kepadanya dua hari lepas, dengan alasan negara berkenaan kini menampung lebih empat juta pelarian dari negara Arab dan beberapa negara jiran.

“Turkiye antara negara yang paling banyak menampung pelarian di dunia, jadi apabila mereka menyatakan belum bersedia, kita menghormati keputusan itu. Kita telah memaklumkan perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri dan insya-Allah, pada Jumaat ini saya akan membawanya kepada Jemaah Menteri.

“Kementerian Luar juga telah dimaklumkan bahawa dasar kita (menempatkan pelarian di negara ketiga) adalah betul, namun ada negara yang belum bersedia,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada kerajaan Turkiye bersetuju menerima pelarian Rohingya dari Malaysia.

Anwar menjelaskan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lepas dibuat berdasarkan usaha Malaysia mencari negara ketiga untuk menempatkan sebahagian pelarian kerana negara tidak berkemampuan menampung jumlah yang begitu ramai.

Menjawab soalan asal Hassan mengenai sama ada Malaysia kesal menjemput Ketua Kerajaan Myanmar ke Malaysia susulan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) pada 19 Nov lepas berhubung genosid Rohingya oleh pasukan keselamatan negara itu, Anwar berkata Malaysia menghormati keputusan tersebut.

Beliau menjelaskan rundingan dengan Myanmar menerusi lawatan Presiden Min Aung Hlaing bertujuan memastikan kepulangan pelarian secara selamat dan bermaruah selaras dengan keputusan ICJ mengenai safe and dignified return, selain menyelesaikan isu pelarian di negara ini yang mencecah hampir 200,000 orang.

Anwar berkata hasil daripada rundingan itu, seramai 10,476 rakyat Myanmar telah dihantar pulang setakat hari ini dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh negara berkenaan.

“Setakat ini, belum ada kes daripada 10,476 (pelarian) itu yang menerima apa-apa bentuk tekanan sepertimana dipantau oleh perisikan Malaysia,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata 6,803 warga Myanmar dijadual dihantar pulang ke negara itu sepanjang Disember ini, dengan 1,500 daripadanya menggunakan tiga kapal tentera laut pada 6 dan 7 Dis, manakala 5,303 lagi menerusi penerbangan.

Perdana Menteri turut menegaskan Malaysia kekal prihatin terhadap penganiayaan kumpulan etnik di Myanmar, termasuk Rohingya, dan mahu penyelesaian terhadap krisis tersebut.

“Saya telah maklumkan kepada semua pimpinan ASEAN termasuk yang bersidang baru-baru ini di Manila, iaitu Malaysia masih kekal dengan Konsensus Lima Perkara (5PC), masih kekal dengan pendirian kita prihatin terhadap penganiayaan terhadap beberapa kumpulan etnik bukan sahaja Rohingya tetapi kumpulan etnik lain. Tetapi kita mahu ada penyelesaian,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) dan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), Anwar berkata ia diperkenalkan susulan isu proses pengesahan pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang disifatkan terlalu mudah, termasuk pemberian dokumen khas.

Beliau berkata pendaftaran pelarian di Malaysia kini hanya akan diiktiraf melalui Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), bagi memastikan proses pengesahan lebih teratur serta mengelakkan penyalahgunaan status pelarian oleh sindiket jenayah.